Jangan kaitkan isu kaum dalam polemik politik – Mahadevan

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 13 Okt – Ketua masyarakat India, Cina dan Portugis di negeri ini kesal dengan dakwaan seorang individu menerusi rakaman audio tular yang mengaitkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersikap ‘pilih kasih’ dalam pentadbirannya.

Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri, Datuk Wira MS Mahadevan berkata, sekiranya benar suara itu milik Datuk Seri Utama Idris Haron seperti didakwa, tidak wajar bekas Ketua Menteri itu mengaitkan isu kaum dengan kekecohan politik kini.

Menurutnya, sepanjang menjadi Ketua Menteri dan berdepan cabaran pandemik COVID-19, Sulaiman tidak pernah mengetepikan kepentingan kaum India, Cina mahu pun Portugis dan Chetti.

“Dakwaan itu amat bercanggah kerana kebajikan mayarakat India sentiasa mendapat perhatian Sulaiman sepanjang mentadbir negeri.

“Saya ketika itu Setiausaha Khas Perhubungan Masyarakat kepada beliau dan pada bila-bila masa boleh berjumpanya jika ada isu masyarakat India yang perlu dibincangkan.

“Berbanding Idris, hal-hal berkaitan kaum India jauh berbeza. Walaupun saya ketika itu EXCO, mahu berjumpa beliau perlu buat janji temu.

“Walaupun Idris panggil saya uncle (pak cik), bukan senang nak berunding dengan beliau,” katanya dihubungi MHI.

Beliau mengulas kenyataan Sulaiman yang menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengambil berat kebajikan kaum di negeri ini.

Menurut Mahadevan, beliau lebih mudah dan selesa membincangkan sebarang isu masyarakat pelbagai kaum dengan Sulaiman berbanding Idris yang dilihat lebih gemar mendapatkan pandangan pihak lain.

“Saya lebih mudah dan selesa bertemu Sulaiman dan berbincang dengan seperti ‘abang dengan adik’ kerana beliau mesra dengan semua kaum.

“Beliau sendiri akan berjumpa dengan masyarakat Portugis dan Chetti. Jadi, tidak elok individu terbabit dakwa Sulaiman tidak selesaikan isu kaum India,” katanya.

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina Ketua Menteri Melaka, Yong Fuan Juan

Sementara itu, Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina Ketua Menteri Melaka, Yong Fuan Juan berkata, masyarakat Cina termasuk pertubuhan perniagaan dan persatuan tokong mudah menyuarakan apa sahaja isu dihadapi kepada Sulaiman.

“Pada waktu pandemik, masa agak terhad, jadi kalau tidak sempat berbincang di pejabat, beliau akan pelawa mereka ke kediamannya.

“Berbanding ketua menteri sebelum itu, waktu berurusan hanya sehingga 5 petang…rakyat boleh nilaikan sendiri,” katanya.

PENGERUSI JPKK Perkampungan Portugis, Marina Linda Danker

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Perkampungan Portugis, Marina Danker berkata, Sulaiman sentiasa memenuhi jemputan penduduk untuk meraikan perayaan di kampung itu.

“Dalam pertemuan atau dialog dengan penduduk, apa sahaja pertanyaan beliau akan segera respon, misalnya berkaitan pembaharuan lanjutan tempoh berkaitan tanah.

“Semasa Perkampungan Portugis dilanda COVID-19, Sulaiman amat mengambil berat keadaan penduduk, dan saya amat menghargai segala keperihatinannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post KM sambut pelancong ke Melaka Jumaat ini, 1,000 cenderahati diedarkan
Next post Exco siasat dakwaan harta karun Pulau Nangka hilang
Ubah saiz-+=