Jangan pandang rendah lawan – Ab Rauf

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

AYER LIMAU 10 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan calon dan jentera BN supaya tidak memandang rendah keupayaan calon lawan.

Katanya, ini kerana parti lawan turut mempunyai kekuatan masing-masing dan jika ia dipandang remeh, BN bakal kecundang.

Bagaimanapun, beliau yakin lima kerusi BN dalam Parlimen Masjid Tanah selamat dan menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah kerusi BN yang diyakini menang.

Ab Rauf berkata, berdasarkan gerak kerja jentera pilihan raya BN yang sudah masuk hari ketiga kempen hari ini, BN yakin kelima-lima kerusi itu kekal dalam genggaman BN.

Selain kerusi Tanjung Bidara yang ditandinginya, kerusi lain ialah Ayer Limau yang diwakili Hameed Mytheen Kunju Basheer, Kuala Linggi (Rosli Abdullah), Lendu (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) dan Taboh Naning (Zulkiflee Mohd Zin).

“Hari ini kita buat kerja sudah masuk hari ketiga dan saya dapati sambutan anggota masyarakat terhadap calon BN sangat baik.

“Walaupun kita tidak boleh berkempen secara bersemuka, kita boleh bersarapan dengan anggota masyarakat untuk kita menjelaskan misi dan visi BN untuk memajukan negeri ini,” katanya ketika ditemui menikmati sarapan bersama anggota komuniti di Kampung Ayer Limau, di sini hari ini.

AB Rauf (kiri) ketika ditemui menikmati sarapan bersama anggota komuniti di Kampung Ayer Limau, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ab Rauf meminta calon BN di Parlimen berkenaan dan 23 lagi kerusi yang lain supaya melipatgandakan usaha memberi penjelasan kepada pengundi sama ada dengan menggunakan media sosial atau melalui pengedaran risalah berkaitan calon dan BN.

Katanya, walaupun kelima-lima kerusi berkenaan menjadi milik BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia tetap perlu dijaga dengan baik kerana hati pengundi tidak mampu dibaca oleh sesiapa pun.

Beliau menegaskan, walaupun kerusi Tanjung Bidara dimenangi BN pada PRU-14 dengan majoriti 2,864, beliau tidak memandang rendah kemampuan calon pencabar dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

“Saya tidak pandang rendah kemampuan Datuk Mas Ermieyati sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana dia sudah dua penggal berkhidmat.

“Begitu juga dengan calon daripada PH yang sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai ketua masyarakat di PadangKemunting,” katanya.

Mas Ermieyati berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak menang pada PRU-13 manakala Zainal pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kemunting.

Ab Rauf berkata, calon BN tidak harus kecewa dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak mampu berkempen secara bersemuka.

Sehubungan itu beliau mengingatkan jentera pilihan raya BN supaya tidak memandang mudah tugas membantu calon untuk menang.

Katanya, bukan mudah untuk mempertahankan kerusi sedia ada, apatah lagi untuk merampas kerusi lawan tetapi segala halangan mampu diatasi jika semua pihak bekerja sebagai satu pasukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post Pastikan biru original, jangan cetak rompak
Next post BN lancar manifesto ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’
Ubah saiz-+=