Jangan panik, kedai buka setiap hari

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 8 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka menasihati orang ramai khususnya rakyat di negeri ini agar tidak melakukan pembelian panik susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis, bermula esok.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, tiada keperluan untuk membeli barang keperluan dalam kuantiti yang banyak memandangkan kedai dan pasar raya kekal dibuka setiap hari seperti biasa walaupun dalam tempoh PKPB.

Ujarnya, pihak KPDNHEP Melaka juga memberi jaminan semua barangan keperluan seperti gula, beras, tepung, minyak masak dan telur sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB.

“Untuk makluman, kita ada 90 anggota yang akan memantau bekalan makanan setiap hari. Kita akan memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan makanan di Melaka.

“Jadi, kita berharap pengguna untuk tidak membeli barangan dalam kuantiti yang banyak kerana tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Jika beras tak cukup esok, belilah esok. Semua peniaga akan beroperasi seperti biasa. Jadi tak perlu tergesa-gesa dan jangan ‘berposak-posak’ untuk beli barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ pemantauan harga barangan sempena PKPB dan perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di Cheng, di sini, sebentar tadi.

Dalam tinjauan itu, beliau mengakui terdapat pertambahan jumlah pengunjung yang sedikit mendadak di pasar raya berkenaan, namun masih terkawal.

Dalam pada itu, mengulas mengenai harga barangan sempena Deepavali, Norena berkata terdapat 14 jenis barangan yang dikawal harganya bersempena perayaan Deepavali yang akan tiba.

Jelasnya, antara barangan yang dikawal termasuklah ayam, telur, kambing, bendi, tomato, kelapa, bawang dan kacang dal yang sentiasa mendapat permintaan tinggi sepanjang Deepavali.

Views:

613
Kongsi :
Previous post PKPB: JAIM benarkan akad nikah bersyarat
Next post Helikopter terhempas: BSKU mulakan siasatan
Ubah saiz-+=