PKPB: JAIM benarkan akad nikah bersyarat

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MELAKA 8 Nov. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hanya membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan secara bersyarat, iaitu hanya di masjid kariah atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Menurut Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat ia susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak selama sebulan bermula esok hingga 6 Disember depan.

Jelasnya, majlis akad nikah boleh diadakan dimana-mana masjid kariah yang berada dalam zon hijau.

“Manakala, bagi zon yang terjejas (zon kuning/jingga/merah) atau mempunyai kes positif COVID-19, majlis berkenaan hendaklah diadakan di PAID.

“Jumlah mereka yang dibenarkan berada dalam masjid akad nikah ialah lapan orang sahaja iaitu, wali; jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi, seorang wakil atau ahli keluarga pengantin lelaki dan seorang wakil atau ahli keluarga pengantin perempuan.

“Majlis akad nikah pula hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk bacaan khutbah dan lafaz taklik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Azhan, pertukaran barang hantaran, majlis adat dan majlis jamuan adalah tidak dibenarkan dalam majlis tersebut.

“Majlis hendaklah dilaksana mengikut prosedur standard yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Premis hendaklah disanitasi setelah majlis akad nikah selesai dan arahan dikeluarkan tertakluk kepada peraturan ditetapkan KKM, MKN dan JAIM dari semasa ke semasa,” katanya.

Views:

1324
Kongsi :
Previous post Sidang DUN Melaka ditangguhkan
Next post Jangan panik, kedai buka setiap hari
Ubah saiz-+=