Jangan perkecil kemampuan PJ City FC

MELAKA United (MU) tidak seharusnya memandang rendah keupayaan PJ City FC meski pun lawannya itu kini menduduki tangga tiga tercorot Liga Super 2020.

Tegas Pengurus Pasukan Muhammad Akram Abdullah, skuad Hang Tuah perlu berhati-hati dengan ancaman skuad kendalian K. Devan itu, memandangkan mereka kerap mengejutkan pasukan-pasukan berstatus besar sebelum ini.

Justeru, beliau mahu pemain memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang 90 minit perlawanan, bagi memastikan Melaka United tidak keciciran mata dalam aksi di laman sendiri, Ahad ini.

“PJ City FC kita tak boleh pandang rendah mereka sebagai pasukan yang lemah. Ini kerana rekod mereka sebelum ini menunjukkan mereka selalu mengalahkan pasukan-pasukan kuat.

“Sebab itulah bagi saya tidak kira pasukan itu di tangga tercorot atau teratas, kita perlu jadikan setiap perlawanan itu sebagai perlawanan penting untuk kita.

“Kita tidak boleh memandang enteng terhadap mana-mana pasukan sekali pun dalam baki hanya beberapa perlawanan lagi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini sebentar tadi.

Mengulas mengenai pencapaian semasa pasukan yang mencatat dua kemenangan dan satu seri selepas liga bersambung semula awal bulan ini, Muhammad Akram menzahirkan rasa gembira di atas pencapaian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya itu bukan tiket untuk semua berasa selesa kerana misi utama pasukan adalah untuk berada di kedudukan yang lebih baik sebelum Liga Super melabuhkan tirainya, bulan depan.

Views:

83
Previous post TYT hadir ke Taman Mini Malaysia dan Asean sempena Hari Malaysia
Next post Ketua Menteri adakan lawatan ke LHDN Melaka