Sorting by

×

JAPEN jalin kerjasama strategik untuk pengumpulan pangkalan data

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 7 Sept. – Jabatan Penerangan Melaka (JAPEN) menandatangani momerandum persefahaman (MoU) bersama Citizen Star Sdn. Bhd., menjadi rakan strategik dalam usaha mengumpulkan maklumat dan profil digital rakyat melalui aplikasi data.

Pengarah JAPEN Melaka Mohd Rizal Hashim berkata, menerusi pengumpulan data itu, ia memberi kesan kepada organisasi tertentu supaya sebarang program mahupun aktiviti yang dijalankan mempunyai impak kepada negara.

Katanya, syarikat Citizen Star diibaratkan sebagai perantaraan untuk membangunkan aplikasi pangkalan data bagi membolehkan JAPEN mencapai hala tuju atau objektif setiap kali menganjurkan sebarang program.

“Dalam agensi kerajaan, apa yang kita kurang adalah dari segi ‘database’ (pangkalan data) jadi apabila kita hendak membuat program kita mahu ia memberi impak yang tinggi.

“Bagi JAPEN, kira-kira 90 peratus program kita adalah program berbentuk komunikasi bersemuka dengan rakyat iaitu turun padang untuk menyebarkan dasar dan inisiatif kerajaan, jadi kita perlukan data sebegini untuk menghantar mesej kepada golongan sasaran yang tepat sekali gus dapat menjimatkan kos kerajaan.

“Kolaborasi ini sekali gus memberi kesan dan ruang baru kepada JAPEN, selaku ‘key communicator’ dengan rakyat, yang mana tugas kami untuk memasarkan maklumat ke saluran tepat dengan kumpulan sasaran yang betul mengikut pangkalan data yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas menandatangi MoU berkenaan di pejabat JAPEN di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengasas Citizen Star Sdn. Bhd., Imraan A. Rahim.

Mengulas lanjut, aplikasi sistem pangkalan data itu diharap akan diperluaskan bersama rakan agensi kerajaan lain serta syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana ia platform terbaik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sementara itu Imraan berkata, setakat ini pihaknya sudah menjalin kerjasama yang sama bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Setakat ini, kami dalam peringkat ‘pilot test’ jadi untuk peringkat ini kita perlukan agensi yang berhubung rapat dengan rakyat dan salah satunya jabatan penerangan,” katanya.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Pelajar tahun tiga pandu kereta ditahan
Next post Usahawan tani tanam jagung selepas timba ilmu alam maya
Ubah saiz-+=