Usahawan tani tanam jagung selepas timba ilmu alam maya

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Sept. – Hanya dengan menimba ilmu penanaman jagung melalui alam maya, dua belia mengukir kejayaan dalam bidang berkenaan.

Kedua-dua sahabat itu, masing-masing juruelektrik dan jurutera pesawat penerbangan, membuktikan ilmu mengenai penanaman jagung yang ditimba melalui laman sosial Facebook mampu menjadikan mereka usahawan tani berjaya.

Norazwan Kamaruddin, 31, dan Mohd Saufee Kamarudin, 32, memulakan usaha menanam jagung di kawasan seluas dua hektar selepas menimba ilmu hanya melalui seorang pemilik akaun Facebook yang mengusahakan tanaman berkenaan di kawasan seluas 40 hektar di Rembau, Negeri Sembilan.

Dengan meneliti kaedah penanaman, penjagaan dan penuaian serta pemasaran yang disediakan pemilik akaun itu, kedua-dua sahabat terbabit memulakan usaha berkenaan dengan memajak tanah di Kampung Jeram, di sini.

Beliau berkata, selain menimba ilmu daripada pemilik akaun terbabit, mereka turut membuat penelitian melalui carian dalam pelbagai laman sesawang mengenai kaedah penanaman jagung dan cabaran yang menunggu.

Norazwan berkata, mereka memberanikan diri membuat pelaburan awal tidak kurang daripada RM10,000 untuk membersihkan hutan, membajak tanah, menabur kapur dan menanam hasil daripada bimbingan melalui pemilik akaun terbabit pada Februari lalu.

NORAZWAN dibantu isteri, Nurul Azirah Abdul Rahim, 31, membungkus jagung untuk pelanggan. Foto Din Ahmad

“Pada mulanya kami menanam jagung mutiara di kawasan hanya seluas 0.4 hektar untuk membuat penilaian hasilnya dan selepas 65 hari kami sudah boleh menuai hasilnya.

“Tuaian pertama kami memperoleh 9,000 tongkol (biji) jagung mutiara yang amat digemari peniaga jagung rebus kerana ia lebih lembut berbanding jenis yang lain,” katanya ketika ditemui di kebun jagungnya di kampung itu hari ini.

Dengan memasarkan jagung mutiara pada harga enam tongkol RM10 kepada pelanggan atas talian dan setongkol RM1 kepada pemborong (belian antara 50 hingga 200 tongkol), mereka memperoleh pulangan antara RM7,000 hingga RM8,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Bagi pemborong yang membeli jagung melabihi 1,000 tongkol, mereka menyediakan harga istimewa antara 70 sen hingga 80 sen setongkol, katanya.

Selepas tujuh bulan mengusahakan tanaman berkenaan, mereka sudah mampu tersenyum menikmati hasil tuaian yang menggalakkan walaupun mengakui terpaksa mengeluarkan kos untuk memasang pagar elektrik bagi mengelakkan pencerobohan monyet, babi hutan dan kerbau.

Bagi menambah perolehan, mereka mula mencuba menanam sedikit jagung pulut, selain memasarkan batang jagung yang sudah dituai kepada penternak lembu dan kerbau sekitar Masjid Tanah yang memerlukannya untuk dijadikan bahan makanan haiwan peliharaan mereka.

Katanya, penternak lembu dan kerbau memotong pendek batang jagung untuk dicampurkan dengan gula merah sebelum diperam antara dua hingga tiga minggu bagi dijadikan bahan makanan tambahan lembu dan kerbau.

Dengan menawarkan batang jagung pada harga RM500 bagi setiap 0.4 hektar, kebun mereka sentiasa dikunjungi penternak lembu dan kerbau setiap kali mereka selesai menuai.

Views:

1573
Kongsi :
Previous post JAPEN jalin kerjasama strategik untuk pengumpulan pangkalan data
Next post Melaka Tropical Fruit Farm terima lawatan Menteri MOTAC
Ubah saiz-+=