Jasin ‘kilang’ bakat sukan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

RIM 9 Oktober – Jasin berpotensi menjadi ‘kilang’ melahirkan atlet-atlet hebat di peringkat kebangsaan suatu hari nanti.

Keyakinan itu dizahirkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Menurut beliau, perkara itu dibuktikan menerusi kejayaan beberapa atlet kelahiran Jasin termasuklah yang terbaharu Nurul Syasya Khairina Syamsur, 13 yang telah mencipta sejarah baharu buat Melaka apabila buat pertama kalinya meraih pingat emas dalam sukan angkat berat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma), baru-baru ini.

“Justeru, saya harapkan ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka untuk aktif di dalam sukan jika mereka berbakat.

“Suka saya ingatkan pada hari ini, sukan adalah antara industri yang menawarkan gaji yang lumayan. Jadi jangan sekat kebebasan mereka, malah perkasakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Jasin di Stadium Mini Jasin, petang semalam.

Menurut Khaidhirah, menerusi sambutan Hari Sukan Negara Daerah Jasin itu, pelbagai program sukan telah dirangka membabitkan segenap lapisan masyarakat, termasuklah keluarga, kanak-kanak, wanita, belia, warga emas dan juga orang kurang upaya.

Antara program yang diadakan ialah Sport Kids, Program Fitness Challenge – Jasin Jom Merecik, tarik tali, 3 on 3 Street Soccer, Liga Penalti, Night Fun Walk Liga Bola Sepak di antara 4 pasukan (MGBD FC, Betara FC, Raja Lawak United FC & RIM Phoenix).

“Secara tidak langsung, sebenarnya Hari Sukan Negara peringkat Daerah Jasin adalah medium untuk memupuk semangat kebersamaan antara kita semua.

“Saya juga menyeru untuk semua warga Jasin teruskan amalan bersukan, bukan hanya pada sambutan ini, malah lakukannya setiap hari dan setiap minggu. Ayuh jadikan sukan sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1818
Kongsi :
Previous post Hidupkan program keagamaan pupuk ukhwah – KM
Next post Fenomena air pasang besar diramal berlaku sehingga Khamis
Ubah saiz-+=