JBPM pantau 4,872 ‘hotspot’ banjir seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERKAM 16 Oktober – Sebanyak 4,872 ‘hotspot’ di seluruh negara dikenal pasti berisiko tinggi berlaku banjir kata Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

Katanya KPKT menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut selain memberikan laporan terperinci kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

“Sarawak merekodkan 1,034 kawasan berisiko berlaku banjir, diikuti Pahang (763) manakala Kelantan (595).

“Melaka, kami kenak pasti 157 hotspot banjir melibatkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas melancarkan Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKKA) peringkat negeri Melaka 2022, di Pantai Siring, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Program Keselamatan dan Kesedaran Awam JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Nik Zulkifli Ibrahim dan Pengarah JBPM negeri, Penolong Persuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut, M Noor Azman berkata, bagi mengadapi musim banjir kementeriannya menerusi JBPM turut menyediakan bot kecil untuk diserahkan kepada pasukan bomba komuniti.

“Bot kecil akan dibekalkan ke kawasan hotspot berkenaan contohnya Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor yang membolehkan pasukan komuniti mengguna pakai aset berkenaan sebagai bantuan awal menyelamat sebelum pasukan lain tiba.

“Selain itu, modus operasi jabatan juga melaksanakan kerjasama dengan negeri berhampiran sekiranya bencana banjir berlaku.

“Sebagai contoh, jika Melaka dilanda banjir, kesiapsigaan anggota di negeri jiran seperti Negeri Sembilan dan Johor akan digerakkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1333
Kongsi :
Previous post Sulaiman rai masyarakat India sempena Deepavali
Next post JAKM Melaka: Kaunter bayar saman trafik terus jadi tumpuan
Ubah saiz-+=