Jelajah AKM Johor buka tirai hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri membuka tirai di Johor hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik disusun atur untuk tatapan Keluarga Malaysia di Johor.

Berlangsung di Dataran Angsana dekat sini, program selama tiga hari sehingga 5 Mac itu bermula dari 9 pagi sehingga 10 malam, dengan menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran dan perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara langsung kepada Keluarga Malaysia.

Berdasarkan atur cara AKM pada hari pertama hari ini, program disajikan merangkumi beberapa segmen seperti pentas utama, pentas mini jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pentas mini Citarasa Keluarga Malaysia, Sukan Rakyat, E-Sport serta tapak pameran agensi dan usahawan.

Antara aktiviti menarik di pentas utama termasuk program Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin, Pertandingan Bintang Patriotik, Malam Kesenian Islam, Selamatkan Harimau Malaya selain cabutan bertuah oleh pelbagai agensi.

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada kejayaan dan sambutan memberangsangkan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas, dengan objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami dan menghayati aspirasi Keluarga Malaysia.

Program itu juga bertujuan menyampaikan pelaksanaan inisiatif dan pencapaian kerajaan di peringkat negeri sepanjang tahun lepas dan tahun ini, serta mengetengahkan perkhidmatan kerajaan negeri dalam penyampaian kerajaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Mengambil kira penularan COVID-19 semasa, perjalanan program turut dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dengan pengunjung turut digalakkan menjalani ujian kendiri COVID-19, selain kerja-kerja sanitasi turut dijalankan setiap kali sesuatu program berakhir.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1777
Kongsi :
Previous post RTC Sungai Rambai sebagai pusat pengumpulan pertanian
Next post Jasin bakal jadi pusat kraftangan pelancongan, warisan
Ubah saiz-+=