
JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT BAWA MESEJ TIADA RAKYAT DILUPAKAN
TELOK MAS 2 Ogos – Kerajaan Negeri menegaskan kejayaan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan diukur berdasarkan jumlah lokasi yang dikunjungi atau kehadiran rakyat, sebaliknya sejauh mana masalah dapat diselesaikan dan manfaatnya dirasai masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap bantuan yang disalurkan menerusi siri jelajah berkenaan membawa mesej jelas bahawa tiada rakyat di negeri ini dilupakan atau dibiarkan menghadapi kesusahan bersendirian.
Jelas beliau menerusi siri kelapan jelajah berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, pelbagai inisiatif dan bantuan disalurkan kepada segenap lapisan masyarakat merangkumi aspek kos sara hidup, kebajikan, perumahan, pendidikan, keagamaan serta pembangunan komuniti.
Jelas beliau, antara inisiatif berimpak adalah, Program Jualan Murah Ayam RM5 Tok Rauf yang menyediakan 2,000 ekor ayam membantu rakyat mendapatkan keperluan makanan pada harga lebih rendah.
“Bagi menghargai jasa dan pengorbanan komuniti nelayan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM40,000 kepada 200 orang nelayan.
“Pada masa sama, dalam memastikan rakyat yang memerlukan mempunyai tempat berteduh yang lebih selesa dan selamat, Kerajaan Negeri meluluskan tiga buah rumah bina baharu dan lima buah rumah baik pulih di bawah Program Melaka Rumahku, manakala lima keluarga lagi menerima bantuan baik pulih rumah menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Siri Ke-8 Rakyat DUN Telok Mas di Kompleks Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Dalam bidang pendidikan, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan RM20,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Pernu, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu, Sekolah Kebangsaan Pernu serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Telok Mas.
Katanya, enam unit televisyen pintar turut disumbangkan kepada enam Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memperkasa kaedah pembelajaran digital dalam kalangan murid.
Sementara itu, institusi agama dan rumah ibadat di DUN Telok Mas pula menerima RM76,000, membabitkan tujuh masjid, empat persatuan tokong dan lima madrasah.
“Bagi menghargai peranan pertubuhan masyarakat yang menjadi nadi perpaduan, pembentukan jati diri dan pembangunan komuniti, sebanyak RM21,000 disalurkan kepada lapan persatuan silat, Persatuan Veteran Tentera serta Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia.
“Bantuan kebajikan berjumlah RM2,600 turut disampaikan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan,” katanya.
Ab Rauf berkata, angka yang disalurkan Kerajaan Negeri tidak seharusnya dilihat sekadar nilai kewangan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai usaha membina kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
“Di sebalik setiap angka ini ada rakyat yang kita bantu, ada keluarga yang kita ringankan bebannya dan ada komuniti yang kita mahu terus perkasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


