
TELOK MAS RASAI KASIH SAYANG, TEDUHAN DI BAWAH ‘POHON RENDANG’
TELOK MAS 2 Ogos – Kerajaan Negeri akan terus memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di seluruh negeri diberi perhatian menerusi pendekatan turun padang serta tindakan segera terhadap setiap aduan yang diterima.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu dizahirkan menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini sudah memasuki siri kelapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Jelas beliau, ia sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus berada dekat dengan rakyat selain menjadikan pandangan, cadangan dan aduan mereka sebagai panduan dalam mentadbir negeri.
“Kalau kita memberi, orang merasa. Kalau kita berbudi, orang berbahasa. Sebab itu kita datang ke Telok Mas dengan rasa kasih sayang dan sifat keprihatinan yang tinggi kepada rakyat.
“Saya lihat sambutan rakyat sangat baik dan mereka menunggu kehadiran kita. Saya tidak nampak rakyat di DUN Telok Mas ini tidak memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri.
“Semoga rakyat Telok Mas ini akan terlindung di bawah naungan ‘pohon-pohon yang rendang’ ini supaya mereka akan terus dapat berlindung di dan merasai teduhan kasih ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Siri Ke-8 Rakyat DUN Telok Mas di Kompleks Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, jelajah berkenaan melibatkan sembilan lokasi persinggahan bagi membolehkan beliau bersama barisan kepimpinan negeri menyelusuri permasalahan rakyat secara lebih dekat.
Katanya, antara isu yang dikenal pasti termasuk keadaan rumah usang yang memerlukan baik pulih serta keperluan keluarga tertentu untuk mendapatkan kediaman baharu.
Jelas Ketua Menteri, dalam siri jelajah itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan inisiatif jualan ayam murah pada harga RM5 seekor membabitkan 2,000 ekor ayam kepada penduduk DUN Telok Mas.
Selain itu, seramai 200 nelayan turut menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 seorang membabitkan keseluruhan peruntukan RM40,000.
“Selain itu, kita memberikan bantuan kepada sekolah agama JAIM, rumah-rumah ibadat seperti masjid, surau dan tokong-tokong.
“Kita juga menyalurkan bantuan tambahan RM20,000 kepada sekolah-sekolah yang berada dalam DUN Telok Mas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman selaku Adun Telok Mas di atas komitmen memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat akan diteruskan ke DUN Duyong sebagai persinggahan kesembilan, sebelum bergerak ke Pengkalan Batu dan Air Molek pada Selasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


