‘MELAKA SAYANG RAKYAT’ BUKAN SEKADAR SLOGAN, TETAPI SEBUAH JANJI – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 2 Ogos – ‘Melaka Sayang Rakyat’ bukan sekadar slogan, sebaliknya sebuah janji Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, janji itu adalah untuk hadir ketika rakyat memerlukan, mendengar ketika rakyat bersuara dan bertindak apabila sesuatu masalah memerlukan penyelesaian.

Jelas beliau, janji tersebut diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif, antaranya Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini sudah menjelajah ke sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

“Di sebalik pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah diberikan Kerajaan Negeri, ada wajah dan kisah seorang insan.

“Ada wajah seorang ibu yang mahu anaknya belajar dalam keadaan lebih selesa. Ada wajah seorang nelayan yang turun ke laut sebelum matahari terbit, tanpa mengetahui sebanyak mana hasil yang akan dibawa pulang.

“Ada juga wajah sebuah keluarga yang selama ini berlindung di rumah yang serba kekurangan, tetapi akhirnya mempunyai harapan untuk menikmati kediaman yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Siri Ke-8 Rakyat DUN Telok Mas di Kompleks Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, wajah dan kisah rakyat itulah yang menjadi dorongan kepada Kerajaan Negeri untuk terus bekerja memastikan setiap dasar dan bantuan yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Wajah-wajah inilah yang menjadi sebab kita terus bekerja. Kerana dalam pentadbiran Melaka Sayang Rakyat, kita tidak hanya menguruskan peruntukan. Kita menguruskan harapan, kehidupan dan masa depan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post TELOK MAS RASAI KASIH SAYANG, TEDUHAN DI BAWAH ‘POHON RENDANG’
Next post KASIH SAYANG TOK RAUF BUAT ANAK ISTIMEWA DUYONGKITA