Jelajah Merdeka Tiga Daerah sebar semangat patriotik

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Bagi menyemarakkan lagi kehangatan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menjelajah ke seluruh Melaka mendekati masyarakat setempat.

Program yang dikenali sebagai Jelajah Merdeka Tiga Daerah itu membabitkan penyertaan 20 kakitangan bersama tujuh jentera SWM Environment.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan bagi menyebar semangat patriotik dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Dalam menyemarakkan sambutan dan menyebarkan semangat patriotik dalam siri jelajah itu kita turut berkongsi rezeki dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada pihak yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu pelepasan peserta jelajah itu telah disempurnakan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib dan turut dihadiri Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka, Khaw Su Aun.

Konvoi itu telah bermula Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Botanikal Melaka dan seterusnya singgah di Pusat Tahfiz dan Pengajian Pondok Darul Ulum Al Islamiyyah, Bukit Katil bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian daripada SWCorp.

Peserta kemudiannya bergerak ke Pekan Selandar, Jasin bagi aktiviti ‘plogging’ dan edaran Jalur Gemilang kepada orang ramai sebelum menuju ke Pantai Bukit Supai, Kuala Linggi bagi aktiviti ‘plogging’ di sekitar kawasan peranginan berkenaan.

Mohd Norlisam berkata, di samping memeriahkan bulan kemerdekaan, program tersebut juga secara tidak langsung menggalakkan orang ramai mengamalkan aktiviti pembersihan di kawasan masing-masing.

“Pada masa sama, menerusi aktiviti ‘plogging’ yang dijalankan, peserta dan penduduk sekitar turut didedahkan dengan cara kitar semula yang betul,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1096
Kongsi :
Previous post Pelancongan kembara tarik minat pelajar dalami sejarah
Next post Rasai pengalaman bermalam di muzium, 30 Ogos ini
Ubah saiz-+=