Jenazah Mohamad Azrin dibawa ke HoSHAS untuk bedah siasat

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

TEMERLOH 1 Sept – Jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang ditemukan hari ini selepas dilaporkan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang, di Bera, Ahad lalu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini untuk bedah siasat.

Difahamkan jenazah Allahyarham tiba di hospital berkenaan kira-kira 11.15 pagi tadi dan ujian calitan COVID-19 akan dilakukan terlebih dahulu sebelum proses bedah siasat bermula.

Tinjauan Bernama mendapati Unit Forensik HoSHAS dikawal rapi oleh anggota tentera dan usaha media untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga Mohamad Azrin juga gagal.

Allahyarham yang merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (Para) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang, Ahad lalu.

Semasa kejadian, Mohamad Azrin sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Mayat Allahyarham ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada 8.15 pagi tadi.

Kehilangan Mohamad Azrin turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan mencemar duli menaiki bot menyertai operasi mencari dan menyelamat meskipun dalam keadaan hujan semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post Mesyuarat pertama Kabinet fokus status terkini jangkitan COVID
Next post JDT bakal rai kejuaraan Liga Super bersama penyokong
Ubah saiz-+=