Jerebu di Melaka terkawal – JAS
AYER KEROH 3 Oktober – Tiga stesen di Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras sederhana iaitu di bawah 100 setakat jam 3 petang tadi.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa berkata, bacaan di stesen Bukit Rambai, Alor Gajah dan Bandaraya Melaka itu menunjukkan kualiti udara di Melaka berada pada tahap tidak membimbangkan.
Katanya, orang ramai bagaimanapun dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka buat masa ini.
“Hari ini setakat jam 3 petang bacaan kualiti udara tidaklah membimbangkan iaitu dalam bacaan IPU sederhana.
“Kita dapati jerebu atau pencemaran udara ini berlaku mungkin dari negara jiran kerana di Melaka tiada ‘hotspot’ atau kebakaran besar yang berlaku,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.
Rosli bagaimanapun menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan pencemaran udara di negeri ini akan menjadi lebih teruk.
“Ada kawasan bacaan IPU lebih 100 iaitu di Bukit Rambai, sebab itu kita nasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada, jangan lakukan pembakaran terbuka dengan sengaja.
“JAS bersama agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sentiasa bertindak cepat dan responsif bagi memastikan kualiti udara khususnya di negeri ini tidak menjejaskan kesihatan orang ramai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.