JKKP agih kit makanan kepada enam keluarg

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) melalui Pertubuhan Kebajikan dan Sukan (PKS) mengedarkan kit makanan kepada enam keluarga memerlukan sekitar Bukit Katil, Ayer Keroh dan Batu Berendam.

Program ‘Kongsi Rezeki’ itu baharu sebulan diperkenalkan, namun berjaya mengumpul wang tunai RM3,000 manakala kit makanan bernilai RM300 disumbangkan Sime Darby Plantation.

DR RABAAYAH (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kit makanan kepada Nur Ain Asbah.

Pengarah JKKP Melaka, Dr Rabaayah Daud berkata, pihaknya terpanggil membantu apabila melihat semakin ramai pekerja kehilangan pekerjaan akibat diberhentikan majikan yang menutup operasi perniagaan.

“…pemerhatian JKKP ke kilang dan berjumpa dengan majikan, kita diberitahu mereka tidak mampu membayar gaji pekerja kerana terpaksa menutup operasi kilang.

“Dari situ kita memikirkan cara yang perlu diambil bagi membantu pekerja terkesan, maka timbullah rancangan memperkenalkan program Kongsi Rezeki ini,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini (MHI) ketika mengadakan lawatan ke rumah enam keluarga menerusi program Kongsi Rezeki PKS JKKP.

DR RABAAYAH menyampaikan kit makanan dan bertanyakan sesuatu kepada Norhaslini Sejeni dalam lawatan ke rumahnya di Batu Berendam.

Menurutnya, seorang penerima, Mohd Nizam Yusop dari Ayer Keroh, kehilangan punca pendapatan apabila diberhentikan sebagai tukang masak di Hotel Philea Resort, dekat sini, sejak tiga bulan lalu.

Katanya, lebih malang rumah sewa didiami Mohd Nizam bersama isteri serta tiga anaknya musnah dalam kebakaran dua minggu lalu.

“Dahulu Mohd Nizam selesa memperolehi gaji bulanan tetap, namun akibat pandemik majikan terpaksa memberhentikannya dan sebahagian kakitangan lain.

“Mujur ramai pihak yang prihatin dengan nasib mereka ini dan PKS juga tidak mahu ketinggalan menghulurkan bantuan,” katanya.

Penerima lain, seorang pelajar UiTM Lendu, Nur Ain Asbah kini terpaksa berkorban masa dan tenaga demi menjaga ibu bapa yang uzur serta kakaknya, orang kurang upaya (OKU) di Bukit Katil.

Dr Rabaayah berkata, seorang lagi penerima Norhaslini Sejeni dahulu berniaga produk wangian di lobi bangunan JKKP tetapi kini menderita akibat menghidap pelbagai penyakit kronik dan terpaksa berkerusi roda di rumahnya dekat Batu Berendam.

Menurutnya, ada kalangan penerima itu tidak menerima apa-apa bantuan dengan mana-mana agensi seperti Pusat Zakat atau Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mahu meminta-minta.

“Jadi kita kenal pasti mereka ini melalui maklumat yang dikumpul sendiri oleh Unit Kebajikan PKS dan kita mahu bantu mereka serta memastikan mereka tidak keseorangan dalam menghadapi kesukaran ini,” ujarnya.

“sebagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pekerja, kita merasa bertanggungjawab untuk membantu golongan ini meneruskan kehidupan mereka.

“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak banyak tetapi kita yakin dengan keprihatinan yang ditunjukkan ini, sedikit sebanyak membantu menguatkan semangat dan sokongan kepada golongan dalam kesusahan ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan majikan di negeri ini khususnya pihak industri perkilangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rangkaian pandemik Covid-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

835
Kongsi :
Previous post 20 lagi kematian akibat COVID-19 di Melaka
Next post Siti Sarah meninggal dunia
Ubah saiz-+=