JPJ berpakaian preman awasi pemandu warga asing

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 6 Januari – Tindakan tujuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyamar dengan berpakaian preman berhasil apabila mengesan pemandu warga asing tanpa lesen menerusi Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Melaka hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata operasi itu akan dilakukan secara mengejut dan berkala dari semasa ke semasa melibatkan seluruh daerah dalam Melaka.

Katanya, dalam operasi mengejut itu, sebanyak lima buah kenderaan yang dipandu tanpa lesen oleh warga asing telah disita.

“Kita menahan enam kenderaan, namun lima kenderaan yang disita melibatkan satu kereta dan empat motosikal di sekitar kawasan Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin).

“Anggota penguatkuasa berpakaian preman telah mengeluarkan sebanyak 14 notis saman P(22) iaitu notis arah periksa, satu notis larangan penggunaan kenderaan PG(1) iaitu larangan penggunaan kenderaan dalam tempoh 10 hari, satu notis arah periksa kenderaan Seksyen 61(1) dan lima notis penyitaan kenderaan di bawah Seksyen 64(1).

“Semua pemandu yang ditahan terdiri daripada dua warganegara Bangladesh, empat warga Rohingya yang masing-masing tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata operasi tersebut merupakan operasi pertama berkaitan pemandu warga asing.

Jelasnya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing tidak mempunyai lesen memandu.

“Kenderaan yang dipandu warga asing itu akan kita sita, dan pemilik kenderaan diambil tindakan membenarkan memandu kenderaan tanpa lesen atau tanpa LKM (lesen kenderaan motor) atau kedua-dua jika berkaitan.

“Pihak JPJ ingin menegaskan bahawa pemandu warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan tanpa lesen memandu dan akan mengambil tindakan tegas termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakannya mengikut peruntukkan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2250
Kongsi :
Previous post TMJ tawar Harimau Malaya guna Stadium Sultan Ibrahim
Next post 291 penerbangan tambahan diluluskan untuk Tahun Baru Cina
Ubah saiz-+=