JPJ kutip lebih RM8.5 bilion hasil bukan cukai bagi tahun 2019 dan 2018

KUALA LUMPUR 27 Julai – Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sejumlah RM8.5 bilion melalui sumber hasil bukan cukai pada tahun 2019 dan 2018.

Memberikan angka terperinci, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4,317,189,192.16 merupakan hasil kutipan pada tahun lepas manakala RM4,233,171,543.31 pada 2018.

“Hasil kutipan bagi kedua-dua tahun berkenaan melalui saluran di kaunter fizikal JPJ adalah sebanyak RM5,028,984,496.37 bersamaan 58.82 peratus dan pada masa ini perkhidmatan kaunter fizikal JPJ melibatkan 15 JPJ negeri, 65 cawangan JPJ dan 19 JPJ UTC (Pusat Transformasi Bandar),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang ingin tahu jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai yang dipungut JPJ pada 2018 dan 2019 serta jumlah hasil yang dipungut melalui kaunter fizikal JPJ, saluran dalam talian (online) MySikap JPJ dan saluran dalam talian syarikat swasta.

Mengulas lanjut, Wee berkata kesemua jumlah berkenaan dikutip daripada hasil bukan cukai sahaja seperti pembayaran fi perkhidmatan pengeluaran lesen memandu, fi perkhidmatan urus niaga pendaftaran baharu kenderaan motor, fi dikenakan ke atas pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda (saman).

-BERNAMA

Views:

1

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Permintaan terhadap pelancongan marin makin meningkat
Next post MSN Melaka harap SUKMA Johor 2020 tak tangguh