Sorting by

×

JPKK perlu bantu wakil rakyat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BUKIT BARU 8 Mac – Kerajaan Negeri berharap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mampu memainkan peranan membantu setiap wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata segala aduan dan permasalahan rakyat yang diterima JPKK mestilah diajukan kepada wakil rakyat agar ia dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya tidak boleh buat kerja seorang, wakil rakyat juga tidak boleh buat kerja berseorangan, semua pengerusi JPKK mahupun sidang harus membantu wakil rakyat kawasan.

“Segala masalah dan aduan rakyat mestilah diajukan kepada wakil rakyat, semua ini akan dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) yang diadakan pada setiap bulan.

“Dengan cara ini segala aduan dan dasar agensi kerajaan akan dapat disampaikan dengan lebih teratur dan jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tadbir Urus Berkesan, Taklimat Insurans Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan Sidang serta Penyampaian Watikah Tauliah Sidang Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Melaka.

Ujarnya setakat ini terdapat seramai 301 sidang dan 316 pengerusi JPKK bagi seluruh Negeri Melaka.

“Daripada jumlah 301 sidang ini, seramai 100 sidang di daerah Alor Gajah, Jasin 71 sidang dan Melaka Tengah 130 sidang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4041
Kongsi :
Previous post Permohonan permit umrah Ramadan 1444H kini dibuka
Next post Festival kraf bantu usahawan perkenalkan produk
Ubah saiz-+=