JPNM diminta pastikan Melaka terima guru tambahan
KOTA LAKSAMANA 25 Ogos – Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan menambah pengambilan guru melebihi 5,000 bermula tahun ini.
Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, usaha itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru malah meringankan komitmen warga pendidik.
Beliau berkata, pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, adalah perkara yang dinantikan JPNM kerana Melaka antara negeri mengalami kekurangan guru.
“Memang keperluan yang boleh dikatakan sedikit mendesak tetapi bukanlah kita kata terlalu kurang, sesungguhnya memang kita sentiasa mengalami kekurangan guru.
“Terima kasih kepada KPM kalau boleh biarlah Melaka dapat guru yang banyak. Saya harap JPNM segera memastikan kita dapat tambahan guru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Majlis Penyampaian Insentif Care SPM 2022 dan Biasiswa Melaka Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka, di sini, petang ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim.
Menurut beliau, menerusi pertambahan bilangan guru ini ia akan membantu kecemerlangan murid dan pelajar.
“Berapa (orang guru) pun yang kita dapat ia akan membantu lagi sekolah di dalam negeri Melaka ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan segelintir guru menggunakan aplikasi Tik Tok ketika waktu pembelajaran, Rais berkata, sekiranya difikirkan tindakan itu dapat menarik minat murid dalam sesuatu subjek ia tidak menjadi halangan.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab masing-masing jadi utamakan dahulu tanggungjawab. Sudah tentu perlunya kreativiti, mungkin kalau rasakan Tik Tok itu dapat menarik minat murid bagi saya tidak ada masalah.
“Tetapi tolong jangan menganggu waktu mengajar di sekolah jadi saya rasa apabila berikrar sahaja untuk menjadi guru mereka sudah tentu mempunyai komitmen terhadap bidang yang telah diceburi itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.