Jual ‘cheese tart’ guna TikTok

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

JASIN 13 Mei – Atas dasar mahu mengembangkan perniagaan, pengusaha pastri, Fadhilah Abdul Halim, 33, memaksimumkan penggunaan media sosial TikTok untuk mempromosikan ‘cheese tart’ dihasilkan.

Dia memberitahu, kuasa TikTok membantunya menjual sehingga 500 biji pencuci mulut itu secara dalam talian yang dianggap sebagai satu pencapaian besar bagi usahawan kampung sepertinya.

Fadhilah berkata, kejayaan itu adalah hasil bimbingan dan pendedahan diberikan pegawai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Chabau.

“Sebelum ini pengetahuan saya mendenai perniagaan digital tidak banyak, akaun TikTok juga tidak ada. Tetapi hasil bimbingan PEDi saya buka akaun untuk promosikan cheese tart.

“Syukur alhamdulillah, bermula Ramadan hingga Syawal jumlah tempahan diterima amat memberansangkan. Jika tempahan banyak suami akan bantu saya untuk bungkus pastri,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di PEDi Kampung Chabau, di sini, semalam.

photo1683885960
FADHILAH merakam video menggunakan telefon pintar sebagai persediaan untuk menghasilkan bahan promosi bagi produknya. Foto MR AZLI

Ibu kepada tiga anak ini berkata, dia mula menjual pencuci mulut itu pada tahun 2020 untuk mencari pendapatan tambahan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berharap perniagaan itu akan terus berkembang termasuk menerima tempahan dari luar Negeri Melaka.

Katanya, PEDi mengajarnya mengenai cara menghasilkan video promosi yang menarik dalam usaha untuk mencari lebih ramai pelanggan.

“Saya harap peluang yang ada ini menjadi platform untuk saya terus memperluaskan produk pastri ini. Namun kualiti diutamakan, bukan sahaja pastri kelihatan cantik tetapi mempunyai rasa enak, biarlah pelanggan berpuas hati,” katanya.

photo1683886263
PENGURUS PEDi Kampung Chabau, Nurul Syahirah Zulpikri (dua dari kanan) melatih dan mendidik pengusaha pastri, Fadhilah Abdul Halim, 33, (duduk) menggunakan kaedah jual beli secara dalam talian seperti di media sosial ketika ditemui di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Chabau, Jasin. Foto MR AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2550
Kongsi :
Previous post TASK beri bantuan awal bencana
Next post Cahaya warna-warni meriahkan rumah terbuka Aidilfitri DUN Merlimau
Ubah saiz-+=