Juruteknik gelang ‘pink’ dipenjara 14 hari, denda RM1,000

 

AYER KEROH 19 Okt – Seorang juruteknik dipenjara 14 hari dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh kerana gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin selepas pulang dari Kota Kinabalu, Sabah pada 29 September lalu.

Tertuduh, Md Syafrizan Salleh, 32 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak berusia 11 bulan dan lima tahun itu didakwa atas kesalahan tidak mematuhi perintah yang sah dikeluarkan Pengarah Kesihatan Malaysia dengan tidak melakukan kuarantin kendiri sebagaimana diarahkan.

Berdasarkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Md Syafrizan dalam pengakuannya memohon maaf kerana terlepas pandang mengenai peraturan baharu yang dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Muhammad Nazrin dalam penghakimannya berkata, tertuduh tidak mempunyai alasan kukuh untuk melanggar perintah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Jika didapati positif COVID-19, disebabkan kamu, pekerja di syarikat tempat kamu bekerja juga boleh positif, jadi adakah kamu mahu bertanggungjawab?

“Kalau ada nyawa yang hilang disebabkan kepentingan kamu, kamu boleh ganti nyawa itu?

“Atas pertimbangan itu, demi pengajaran dan masyarakat, kamu diperintahkan penjara 14 hari bermula tarikh sabitan serta didenda sebanyak RM1,000 dan jika gagal membayar denda, tambahan penjara satu minggu,” katanya dalam membacakan penghakiman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Polis Diraja Malaysia Melaka, Asisten Superintendan Nora Yaacob manakala tertuduh diwakli peguam pelatih Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Koh Kok Tian.

Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat kejuruteraan di Sungai Udang yang mendakwa seorang daripada pekerja lelaki pergi ke Kota Kinabalu, Sabah pada 26 September lalu untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bagaimanapun, enam hari kemudian pekerja terbabit didapati tidak mematuhi SOP iaitu Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari sebagaimana arahan dikeluarkan kerajaan Malaysia.

Hasil siasatan mendapati, pekerja tersebut yang masih memakai gelang berwarna ‘pink’ hadir bekerja di syarikat itu serta membeli barang keperluan dalam tempoh kuarantin bermula 28 September hingga 11 Oktober lalu.

 

Views:

209
Previous post Petronas Yamaha SRT buat analisis isu dihadapi pada GP Aragon
Next post Hanya empat pelanggan