Kadar pengangguran rakyat Malaysia turun pada suku kedua tahun ini- Saravanan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 14 Sept – Kadar pengangguran rakyat Malaysia turun 0.3 peratus pada suku kedua tahun ini iaitu kepada 4.8 peratus berbanding 5.1 peratus yang dicatat pada tempoh sama 2020, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata, bagi kedudukan pengangguran di peringkat negeri pada suku kedua tahun ini, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatat kadar pengangguran lebih lapan peratus iaitu masing-masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus.

“Ini menunjukkan daripada 100 orang tenaga buruh di negeri itu, sembilan orang daripadanya adalah penganggur,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob (UMNO-Machang) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

AHMAD JAZLAN.

Ahmad Jazlan bertanya, mengenai kadar penggangguran rakyat Malaysia mengikut negeri sehingga Ogos tahun ini.

Saravanan berkata, bagi tempoh sama, Perlis mencatatkan kadar pengangguran 5.3 peratus manakala enam negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus iaitu Kelantan (4.8 peratus), Kuala Lumpur (4.7 peratus), Perak, Selangor dan Sarawak masing-masing 4.4 peratus serta Terengganu pada kadar 4.2 peratus.

“Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran antara 3.5 peratus ke 3.9 peratus.

“Kadar pengangguran terendah pula adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kadar 1.7 peratus. Ini dapat dikaitkan dengan penglibatan tinggi penduduk kawasan ini yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Saravanan berkata, terdapat tujuh negeri mencatatkan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus, menggambarkan ekonomi negeri berkenaan masih beroperasi dengan guna tenaga penuh.

Pada masa sama, penurunan bilangan penganggur direkodkan di tujuh negeri iaitu Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Putrajaya, kata beliau.

Bagaimanapun katanya, Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan penduduk bekerja, namun bilangan penganggur di negeri itu turut meningkat sebanyak 2.3 peratus iaitu 3,700 orang daripada 161,000 orang kepada 165,000 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Hamzah perjelas isu ahli parlimen tidak dibenar masuk Parlimen 2 Ogos
Next post Kemasukan pelajar IPT secara berperingkat mulai 15 Oktober – Noraini
Ubah saiz-+=