Kaedah pendigitalan lancarkan Majlis Konvokesyen UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 November – Sistem dan proses penganjuran Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) kali ke-19  yang pertama kali dilaksanakan menggunakan pendekatan digital mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan di sepanjang penganjurannya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pelaksanaan pendigitalan merangkumi proses sebelum, semasa dan selepas penganjuran majlis konvokesyen itu telah dilaksanakan sepanjang penganjuran itu berlangsung pada 4 hingga 6 November lalu.

Katanya, majlis diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM selari dengan aspirasi nasional bagi memperkasa universiti awam yang perlu proaktif dalam pendigitalan menerusi proses dan gerak kerja urusan berkaitan.

“Secara operasinya ia melibatkan beberapa komponen antaranya platform laman sesawang majlis konvokesyen yang menjadi rujukan utama dan panduan yang memudahkan urusan kepada para graduan dan ibu bapa.

“Turut dibangunkan adalah sistem permohonan jubah graduan di mana ia menjadi pemangkin kepada penjimatan masa dan melancarkan proses pengagihannya secara fizikal dengan lebih efisien.

“Sistem permohonan jubah ini juga dilengkapi dengan pautan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dibangunkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengetahui status pekerjaan graduan setelah tamat pengajian serta mendapatkan pandangan graduan berhubung program pengajian, kemudahan dan perkhidmatan di Institusi Pendidikan Tinggi. Secara tidak langsung, kajian ini juga dapat mengukur kebolehpasaran graduan UTeM,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Dalam pada itu, Massila berkata, pendigitalan yang digunakan kali ini turut membolehkan universiti berkenaa menyediakan buku konvokesyen secara digital (e-book convocation) sekali gus memudahkan graduan, ibu bapa dan tetamu kenamaan mengakses buku digital itu di laman sesawang.

Malah katanya, pihak vendor bagi urusan gambar rasmi konvokesyen graduan juga menyahut ke arah pendigitalan dengan menyediakan platform permohonan dan pembayaran gambar secara dalam talian.

“Sistem ini juga telah diintegrasikan dengan sistem pengurusan kewangan universiti bagi memudahkan operasi transaksi kewangan graduan dan universiti.

“Sementara itu sistem pengesanan QR diperluaskan penggunaannya kepada graduan dalam urusan seperti pas kenderaan, pas masuk dewan dan kehadiran staf akademik sewaktu majlis.

“UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu terus dinamik menerapkan pendigitalan secara sepenuhnya dan proses ini memberikan pendedahan langsung kepada staf, pelajar, graduan dan juga ibu bapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3876
Kongsi :
Previous post Jambatan sementara legakan 5,000 penduduk termasuk petani
Next post MPHTJ fokus berikan manfaat kepada komuniti
Ubah saiz-+=