Kaki pancing serbu Taman Mini Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park (MMACP) atau lebih dikenali sebagai Taman Mini Malaysia yang biasanya sinonim dengan aktiviti seni dan kebudayaan tiba-tiba sahaja berubah wajah apabila diserbu hampir 200 kaki pancing seluruh Melaka, hari ini.

Ia bersempena pertandingan Meh Ngail @ MMACP anjuran bersama pihak MMACP dengan Joran Unggul Event Management.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMACP, Arif Faiz Zainudin, penganjuran program itu bersempena dengan Pesta Seni dan Budaya yang berlangsung selama sehari pada hari ini.

ANTARA kaki pancing yang setia menunggu ikan menjamah umpan sejak jam 9 pagi.

Katanya, selain pertandingan memancing, turut diadakan persembahan kebudayaan dan bengkel seni dan budaya tradisional berkonsepkan pendidikan dan praktikal yang menarik minat 120 peserta.

“Boleh dikatakan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Untuk hari ini sahaja, saya anggarkan hampir 1,000 orang mengunjungi MMACP dan melakukan pelbagai aktiviti yang ada di sini seperti melawat rumah tradisional, ‘wall climbing’, ‘ATV Ride’ dan kolam renang untuk anak-anak.

“Walaupun diserbu pengunjung yang ramai, namun kita masih lagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan taman budaya ini seluas 13.76 hektar dan setiap pengunjung juga diwajibkan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan pada masa sama kita turut menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Pesta Seni dan Budaya ini satu daripada empat program ikonik yang akan kita anjurkan tahun ini. Selepas ini, pada 11 April kita akan menganjurkan pesta gendang dan selepas itu Pesta Dondang Sayang dan Pesta Silat pula akan menyusul pada Mei dan Jun,” katanya.

MOHAMMAD Firdaus bersama ikan raja yang melayakkannya muncul juara Meh Ngail @ MMACP.

Di akhir pertandingan menyaksikan pemancing dari Bukit Rambai, Mohammad Firdaus Yatim, 34, dinobatkan johan Meh Ngail @ MMACP selepas menaikkan ikan raja (Peacock Bass) seberat 0.76 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500.

Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Muhammad Faizal Jais dan Johari Salleh, masing-masing mendaratkan ikan haruan 0.755kg dan ikan raja 0.68kg, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan RM300.

Mohammad Firdaus yang ditemui selepas tamat pertandingan mengakui seakan tidak percaya ikan yang dipancingnya menggunakan umpan cacing pada jam 10.45 pagi itu muncul ikan terberat pertandingan berkenaan.

Katanya, penyertaannya dalam pertandingan memancing itu sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu, namun bersyukur apabila bergelar juara.

“Saya sudah banyak menyertai pertandingan memancing tapi belum pernah menang hadiah utama. Ini kali pertama, jadi memang saya agak terkejut jugalah sebab saya tak sangka ikan bawah satu kilogram boleh jadi juara.

“Mungkin ini rezeki saya. Apapun, hadiah kemenangan itu akan saya gunakan untuk belanja seluruh keluarga makan malam dan bakinya saya manfaatkan sebaiknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1279
Kongsi :
Previous post Kertas siasatan dibuka dakwaan gangguan seksual pegawai polis semasa SJR Putrajaya
Next post Undi 18: Beri masa kepada SPR- Takiyuddin
Ubah saiz-+=