‘KALAU IBU ADA, PASTI LEBIH MERIAH’
DURIAN TUNGGAL 9 Disember – Gadis ini hanya mampu mengimpikan ibunya tersenyum dengan penuh perasaan bangga saat melihat dia yang lengkapkan memakai jubah sambil menggengam skrol diploma.
Meskipun ibunya sudah pergi Nur Nadiah Nizarudin, 22, tetap bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam akademik, atas kesungguhannya itu dia juga diumumkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-26 Universiti Islam Melaka (UNIMEL), semalam.
Sebaliknya senyuman, Nur Nadiah anak kedua daripada tiga beradik, ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaik kerana merindui Allahyarham ibunya.
Namun begitu Nur Nadiah bersyukur kerana ditemani bapanya Nizarudin Md Arif, 51, untuk mengambil anugerah berkenaan yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, biarpun dalam suasana sebak.
“Perasaan teruja saya bercampur sedih kerana ibu tiada untuk melihat kejayaan ini, namun saya bersyukur ada bapa dan adik-beradik menemani saya.
“Anugerah yang saya terima ini adalah untuk arwah ibu, alhamdulillah biarpun agak mencabar pada semester empat tetapi dengan bantuan pensyarah dan rakan-rakan saya berjaya menamatkan pengajian.
“Saya tidak pandai bahagikan masa antara pelajaran dan keluarga, jadi sepanjang menuntut saya fokus untuk belajar semata-mata, apabila ada cuti baru saya balik ke rumah jumpa keluarga,” katanya.
Nur Nadiah merupakan pelajar jurusan Diploma Undang-Undang dari Fakulti Undang-Undang Governan Dan Antarabangsa UNIMEL.
Kejayaan Nur Nadiah melayakkannya menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 sumbangan Salihin Consulting Group Sdn Bhd, plak cenderamata beserta sijil sumbangan UNIMEL.
Nur Nadiah berkata arwah ibunya sentiasa berpesan bahawa pendidikan perlu diutamakan demi menjamin masa depan yang lebih cerah.
“Syukur berpeluang melanjutkan pengajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pengajian saya tidak akan pernah habis kerana ini adalah hasrat ibu sebelum dia meninggalkan saya pada tahun lalu.
“Selepas di UIAM saya akan lihat ke mana arah tujuan saya sebelum memilih kerjaya yang sepatutnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.