“Kami bersyukur diberikan bantuan”

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat
RONALD Kiandee menyampaikan sumbangan kepada penternak ikan wanita di PKPP, Padang Kemunting, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 5 Julai – Seramai 11 penternak ikan air tawar mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah dan berterima kasih kepada kerajaan selepas menerima bantuan bencana banjir semalam.

Mereka menerima bantuan antara RM1,000 hingga RM3,000 berasaskan jumlah ikan yang terlepas ketika banjir melanda kolam masing-masing tahun lalu.

Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronalad Kiandee ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, Masjid Tanah di sini.

Muhamad Anwar Mohamad, 62, berkata beliau mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas kira-kira 40,000 ekor ikan tilapia merah yang diternak dalam 10 kalam di Durian Tunggal, Alor Gajah terlepas akibat banjir pada Februari 2019.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa, selain berserah kepada takdir apabila air naik dengan cepat hingga menyebabkan semua ikan dalam kolam terlepas.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kementerian kerana membantu saya dengan sumbangan itu,” katanya ketika ditemui di PKPP.

Hamir Jidin, 53, berkata walaupun sumbangan kementerian itu tidak mampu membiayai keseluruhan kerugian yang dialaminya, sedikit sebanyak ia membantu dalam usahanya mendapatkan anak ikan.

“Saya menternak ikan keli di Gadek, Alor Gajah dan mengalami kerugian selepas banjir melanda pada Februari tahun lalu.

“Dengan bantuan RM1,000 yang saya terima hari ini, insya-Allah akan saya gunakan untuk membeli anak ikan untuk dilepaskan dalam kolam,” katanya.

Bagaimanapun, banjir tidak melemahkan semangatnya untuk terus berusaha memajukan industri penternakan ikan keli kerana ikan berkenaan mempunyai pasaran yang baik, terutama pada musim kenduri perkahwinan pada November dan Disember.

Katanya, kerugian akibat banjir menambah pengalamannya supaya sentiasa lebih berhati-hati menjelang musim tengkujuh.

Bagaimanapun, usaha dan tadbir manusia tidak mampu mengatasi takdir Allah yang menurunkan hujan lebat untuk menguji manusia, termasuk penternak ikan sepertinya.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Covid-19 : Orang ramai perlu berwaspada
Next post Harga ayam dijamin kembali stabil menjelang Ogos
Ubah saiz-+=