‘Kami reda’ – Penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Mei – “Kami reda dan bersedia menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini hingga 29 Mei ini untuk membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Persiapan awal pun sudah dibuat dengan menyediakan makanan dan keperluan lain selepas ura-ura mengenainya tersebar melalui laman sosial sejak beberapa hari lalu,” kata anggota komuniti di Kampung Lubuk Redan, di sini, Shukri Kassim, 43.

Dia berkata, pengumuman mengenainya oleh Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, mendorong beliau terus melakukan persiapan hari ini.

Sejak ura-ura kampung itu akan dikenakan PKPD, dia sudah bersiap sedia menghadapinya dengan menghantar isterinya yang hampir bersalin ke rumah ibu mentuanya di Bertam, dekat Sungai Udang pada Rabu lalu.

“Isteri saya bersalin pada Aidilfitri pertama kelmarin di Hospital Melaka dan sekarang berada di rumah ibu mentua saya.

“Sekarang saya jaga bapa yang menjalani kuarantin kendiri di rumah manakala ibu yang positif COVID-19 sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor dua minggu lalu,” katanya di kampung itu hari ini.

KAMPUNG Lubuk Redan, Masjid Tanah dikenakan PKPD mulai tengah malam ini hingga 29 Mei ini. Ia adalah komuniti kedua di Melaka yang dikenakan perintah berkenaan selepas Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin.
– Foto DIN AHMAD

Dia berkata, selain bapa, turut menjalani kuarantin kendiri ialah kakak dan abang iparnya yang tinggal di Alor Gajah.

Shukri yang turut menjalani ujian calitan pada 8 Mei lalu disahkan negatif dan sudah membuka gelang merah jambu lima hari kemudian.

“Saya reda menghadapi PKPD kerana ia adalah sebahagian daripada ujian Allah kepada saya dan kira-kira 700 lebih penduduk kampung ini,” katanya.

Kampung berkenaan dikenakan PKPD selama 14 hari mulai tengah malam ini hingga 29 Mei ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu apabila 56 kes positif direkodkan di kampung itu.

Ia menjadikannya sebagai komuniti kedua dikenakan PKPD di negeri ini selepas PKPD pertama dilaksanakan di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin, dari 7 Mei lalu hingga 20 Mei ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

859
Kongsi :
Previous post Kerajaan tubuh Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri
Next post Kematian Haziq tiada kaitan dengan vaksinasi COVID-19 – Pakar forensik
Ubah saiz-+=