Kampung Gangsa lubuk baung, udang galah

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 Oktober – Popular sebagai lubuk ikan baung dan udang galah, Kampung Gangsa bakal dibangunkan sebagai sebuah destinasi Agrotourism khusus bagi aktiviti perikanan rekreasi di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perancangan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) itu pastinya mampu menarik lebih ramai kaki pancing ke Kampung Gangsa.

Katanya, berikutan itu aktiviti pemuliharaan ekosistem di kampung berkenaan sentiasa dijalankan dan terkini sebanyak 72,000 benih udang galah bernilai RM14,400 dan 10,000 benih ikan baung bernilai RM2,500 dilepaskan.

Jelasnya, aktiviti itu juga bertujuan bagi meningkatkan lagi stok sumber perikanan sesuai dengan perancangan pembangunan pusat perikanan rekreasi.

“Sungai di Kampung Gangsa ini antara lokasi tumpuan dalam kalangan pemancing rekreasi. Diharapkan dengan pelepasan benih udang galah dan ikan baung ini ia dapat memperkenalkan dan merancakkan lagi aktiviti perikanan rekreasi di kawasan ini.

“Dijangka pada Mei 2024 benih dilepaskan ini akan matang, ia berdasarkan kitaran pembesaran antara tujuh hingga lapan bulan. Selepas tempoh itu sungai ini sudah boleh dibuka sebagai lubuk bagi pemancing, sekali gus menambah lagi produk pelancongan sempena TMM2024.

“Jadi pelancong datang ke Melaka selepas ini bukan sekadar mahu melihat tempat-tempat bersejarah atau membeli belah sebaliknya singgah ke destinasi Agrotourism kita sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melaksanakan Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di Perairan Sungai Melaka di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong, serta Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon.

photo1696480442
PENDUDUK yang menjalankan aktiviti memancing di perairan Sungai Melaka berhampiran Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam perkembangan lain Dr. Muhamad Akmal berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perikanan komited bagi memastikan stok bekalan perikanan di perairan Melaka sentiasa dilestarikan.

“Jabatan Perikanan negeri mensasarkan lebih 50,000 benih ikan dan udang akan dilepaskan di sungai-sungai sepanjang tahun ini. Setakat ini sejumlah 303,500 ekor benih ikan dan udang galah dilepaskan di sungai terpilih dengan nilai RM42,900.

“Kajian Inventori Sumber Perikanan Sungai di Melaka telah dijalankan Jabatan Perikanan negeri dan mendapati hasil kajian di empat sungai terdapat 19 spesies ditemui antaranya lampam sungai, lampam krai, terbul, baung, lundu, udang galah dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3616
Kongsi :
Previous post Tempoh percubaan selaraskan kapal berlabuh di perairan Tanjung Kling – Exco
Next post Perikanan laut dalam alternatif tingkat pendapatan nelayan
Ubah saiz-+=