Tempoh percubaan selaraskan kapal berlabuh di perairan Tanjung Kling – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Oktober – Pihak berkuasa Pelabuhan Tanjung Beruas bersama Pelabuhan Klang dan agensi terbabit diberikan tempoh percubaan untuk menyusun atur semula kapal-kapal yang berlabuh di perairan Tanjung Kling dalam masa terdekat.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu bagi menyelesaikan isu berbangkit yang dihadapi para nelayan di perairan itu.

“Berhubung isu nelayan di Pantai Puteri ini, semalam (Rabu) kita sudah berbincang dengan pelabuhan, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut Malaysia untuk kita minta mereka selaraskan semula kapal-kapal berlabuh ini.

“Memang kita sudah tengok kapal ini berlabuh dalam kawasan yang telah digazetkan, tetapi kita minta mereka selaraskan semula supaya nelayan di kawasan ini boleh menangkap ikan.

“Pihak pelabuhan tersebut sudah setuju tetapi mereka memerlukan masa untuk melihat plot sesuai bagi kapal besar ini bersauh dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran secara langsung di program ‘Apa Kabau YB’ bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka di Studio RTM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal telah mengadakan perbincangan bersama agensi terlibat bagi mendapatkan persetujuan mengenai plot kapal berlabuh di perairan Tanjung Kling yang akan disejajarkan semula.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada nelayan di kawasan itu yang sukar untuk menangkap ikan susulan kapal-kapal besar yang belabuh dalam keadaan berselerak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1029
Kongsi :
Previous post Task force isu beras mula buat kerja
Next post Kampung Gangsa lubuk baung, udang galah
Ubah saiz-+=