Task force isu beras mula buat kerja

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Oktober – Pasukan petugas khas (task force) ditubuhkan Kerajaan Negeri awal bulan lalu sudah mula menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung kawalan serta kemasukan beras ke Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, antara peranan task force berkenaan adalah memantau stok beras dan melakukan persediaan awal berhubung bekalan makanan itu untuk tempoh beberapa bulan ke hadapan.

“Penubuhan task force amat perlu untuk melihat kebarangkalian pasaran beras dan juga stok bagi bulan-bulan yang mendatang. Contoh dari Oktober hingga Disember ialah musim tengkujuh, jadi pasukan ini perlu tahu berapa stok bekalan yang perlu ada.

“Begitu juga tahun depan merupakan pilihan raya bagi negara India. Bila berlaku pilihan raya, mereka akan menghentikan eksport, jadi pasukan ini perlu bersedia dengan apa langkah yang akan dilakukan.

“Beras merupakan makanan asas paling penting di negara ini, sebab itulah perlunya ada satu ‘task force’ untuk kita pantau semua isu berkaitan beras,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran secara langsung di program ‘Apa Kabau YB’ bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka di Studio RTM, di sini, hari ini.

Tambah Dr. Muhamad Akmal, selain pemantauan, penguatkuasaan tegas juga perlu dilakukan bagi memeriksa data kemasukan beras yang diterima di negara ini.

“Tentang penguatkuasaan memang kita tegas, saya arahkan semua pegawai terlibat untuk buat pemeriksaan tentang data kemasukan beras dan kita juga akan memeriksa sama ada beras yang ada berapa kandungan kimia asasnya serta lain-lain.

“Kena tunjukkan bahawa kita sentiasa menguatkuasakan undang-undang yang ada supaya kartel-kartel beras ini tidak berani untuk buat sebarangan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menerima tambahan beras putih tempatan sebanyak 80 tan metrik yang akan diagihkan kepada pasar raya yang tidak mempunyai bekalan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Jerebu: Elak pembakaran terbuka di Melaka
Next post Tempoh percubaan selaraskan kapal berlabuh di perairan Tanjung Kling – Exco
Ubah saiz-+=