Perikanan laut dalam alternatif tingkat pendapatan nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 Oktober – Trasformasi nelayan pesisir pantai kepada nelayan laut dalam antara alternatif yang dicadangkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup nelayan di Negeri Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu juga dianggap sebagai antara penyelesaian kepada isu kapal bersauh di Selat Melaka hingga menjejaskan nelayan tempatan.

Dr. Muhamad Akmal berkata, cadangan itu akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) setelah perbincangan dijalankan bersama nelayan Jabatan Perikanan negeri, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan semua pihak terlibat.

“Perbincangan juga akan diadakan bersama pihak pengendali pelabuhan, perlu juga ambil kira pandangan mereka. Memang pembangunan itu perlu, namun pada masa yang sama hak nelayan perlu dibela, tidak boleh diketepikan atau dibiar begitu sahaja.

“Apa yang saya nampak (penyelesaian) kita perlu ada perbincangan bersama untuk tambah baik cara nelayan mencari rezeki. Bagi perkara ini kita cadangkan untuk ubah daripada nelayan pesisir pantai kepada nelayan laut dalam.

“Semua pihak terlibat dalam hal ini mungkin boleh bersama Kerajaan Negeri membantu menyediakan bot yang lebih besar kepada mereka. Mungkin bagi setiap tiga orang nelayan boleh sediakan sebuah bot besar untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di Perairan Sungai Melaka di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon.

Baru-baru ini, Dr. Muhamad Akmal dalam lawatannya ke pesisir Selat Melaka, memandang serius berhubung isu kapal bersauh secara berselerak hingga menjejaskan nelayan keluar mencari rezeki.

Menurutnya, selain trasformasi kepada nelayan laut dalam, Kerajaan Negeri akan mencari kaedah atau alternatif lain bagi punca rezeki golongan terbabit tidak terus terjejas.

Jelasnya, antara yang dicadangkan adalah nelayan melakukan permohonan bagi mendapatkan tapak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai alternatif lain menjana pendapatan.

“Saya minta persatuan nelayan setiap daerah untuk mohon tapak TKPM supaya tanah ini diberikan kepada mereka, jadi tidak lagi mereka ini mengharapkan pendapatan daripada hasil menangkap ikan semata-mata,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1329
Kongsi :
Previous post Kampung Gangsa lubuk baung, udang galah
Next post Hukuman penjara, sebatan buat pengkhianat subsidi negara
Ubah saiz-+=