Kampung tradisional di tengah bandar

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

Oleh: Muhammad Rasul Azli Samad

KOTA LAKSAMANA 18 Januari – Kampung Morten yang terletak di tengah Bandaraya dalam daerah Melaka Tengah adalah satu-satunya perkampungan tradisional Melayu masih kekal hingga ke hari ini.

Penempatan seluas 12 ekar ini menjadi tempat berteduh 600 orang penduduk yang majoritinya adalah berketurunan Melayu.

Sehingga kini terdapat 98 lot tanah sementara, sebuah surau dan balai raya telah didirikan untuk kemudahan penduduk Kampung Morten.

Kampung ini telah diterokai oleh Datuk Othman Md Nor pada tahun 1922 yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Kampung secara rasmi semasa penubuhan Lembaga Kampung pada tahun 1922.

Penduduk asalnya adalah dari Kampung Jawa yang terpaksa berpindah kerana pelaksanaan pembangunan yang ketika itu dipenuhi dengan hutan bakau dan nipah.

Walaubagaimanapun mereka tidak mempunyai wang untuk membeli tanah tersebut yang pada masa itu dimiliki oleh Abdullah Maarof dan Pak Khalil.

Maka salah seorang penduduk telah berjumpa dan meminjam wang daripada Pegawai Daerah iaitu J.F. Morten setelah tuan tanah bersetuju untuk menjual dengan harga RM10,000.

Dalam perjumpaan semasa penubuhan lembaga itu, satu perbincangan telah diadakan untuk memberi nama pada kampung baru yang belum bernama itu.

Nama-nama yang dicadangkan ialah Kampung Bunga, Kampung Tanjung Bunga dan Kampung Morten.

Kampung 1
PEMANDANGAN Kampung Morten dari udara. Foto MR AZLI

Suara terbanyak memilih nama ‘Kampung Morten’ yang telah dicadangkan oleh Datuk Othman Md Nor sendiri dengan alasan bahawa ia diambil sempena nama J.F. Morten sebagai mengenang jasa dan usahanya yang bersungguh-sungguh sehingga terbinanya Kampung Morten dan ianya berkekalan sehingga hari ini.

Dalam perjumpaan itu juga, tiga lorong dikawasan Kampung Morten telah dinamakan dengan nama Jalan Dato’ Othman untuk Lorong Satu, Jalan Dato’ Hamid untuk Lorong Dua dan Lorong Tiga dinamakan Jalan Sidang Said.

Selain itu seni bina yang unik dan lokasi di tebing Sungai Melaka menjadikan kampung ini laluan utama Melaka River Cruise.

Sebahagian penduduk masih mengekalkan rekabentuk tradisional rumah, pintu gerbang kayu, halaman yang dihiasi seni kreatif dan cantik bagi menyambut ketibaan pengunjung.

Tangga batu dihiasi jubin corak geometri atau bunga adalah salah satu ciri unik rumah tradisional ini.

Bagaimanapun disamping nama rasminya, Kampung Morten turut disebut dengan nama Kampung Baru dan kekal sehingga kini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6256
Kongsi :
Previous post Uptown Pahlawan Walk semakin meriah di lokasi baharu
Next post Lebih 8,000 warga PBT berkampung di Melaka
Ubah saiz-+=