Uptown Pahlawan Walk semakin meriah di lokasi baharu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 18 Januari – Perubahan lokasi Uptown Pahlawan Walk di Banda Hilir memberi impak positif kepada peniaga apabila ia menerima sambutan cukup hebat daripada pengunjung dan pelancong.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, berdasarkan pemerhatiannya selama tiga hari sejak dipindahkan, lokasi tersebut menggamit lebih ramai pengunjung.

Katanya, dibandingkan dengan lokasi yang lama, penganjuran di lokasi baharu memberi lebih keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.

“Alhamdulillah, sejak dipindahkan dan sepanjang tiga hari pemerhatian saya di tapak lokasi penganjuran saya dapati pengunjung lebih ramai ke lokasi baharu jika dibandingkan dengan tempat lama.

“Meskipun pada awalnya, peniaga ramai yang membantah dan tidak berpuas hati, namun selepas pertemuan dan perbincangan, kita minta mereka untuk percaya pada Kerajaan Negeri yang juga mahu membantu ekonomi mereka.

“Saya juga menerima respon positif daripada pengunjung dan peniaga. Rata-rata peniaga juga ada yang menyatakan hasrat mahu pihak MBMB menambah hari pelaksanaan uptown terbabit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan turut menyarankan untuk pengunjung dan peniaga bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran tapak perniagaan berkenaan bagi menjaga imej kebersihan Negeri Melaka.

“Langkah ini untuk keselesaan semua pihak, pengunjung tidak sakit mata dan peniaga dapat mencari rezeki lebih baik,” katanya.

Bermula 12 Januari lepas, kira-kira 190 peniaga Uptown Pahlawan Walk, di sini, dipindahkan ke lokasi baharu iaitu bermula dari hadapan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hingga ke premis makanan segera bersebelahan Dataran Pahlawan.

Uptown tersebut akan beroperasi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad serta sepanjang pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan bermula 6 petang hingga tengah malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6903
Kongsi :
Previous post JBS Melaka anjur tiga tayangan skrin besar Piala Asia
Next post Kampung tradisional di tengah bandar
Ubah saiz-+=