JBS Melaka anjur tiga tayangan skrin besar Piala Asia

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 18 Januari – Bersempena Piala Asia 2023 Qatar, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka mengambil inisiatif menganjurkan tayangan skrin besar bagi membolehkan warga Melaka memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

Pengarah JBS Negeri Melaka Khairul Adri Rosli berkata, kesemua tayangan itu diadakan di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka dengan objektif memupuk kebersamaan dan perpaduan dalam sukan bola sepak.

Menurut beliau, sebanyak tiga program tayangan diadakan yang mana ia telah bermula 16 Januari lalu, diikuti 20 Januari dan 25 Januari dengan menyasarkan kehadiran lebih 1,500 peminat bola sepak dari Negeri Melaka.

“Bagaimanapun, untuk tayangan pertama sahaja pada 16 Januari lalu iaitu perlawanan membabitkan Malaysia dan Jordan, seramai 2,000 warga Melaka telah hadir untuk memberikan sokongan.

“Ini menunjukkan semangat bola sepak di Melaka masih tinggi dan rata-rata mereka juga sanggup datang lebih awal untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan kebangsaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Khairul Adri, selain tayangan siaran langsung aksi bola sepak, pelbagai acara sampingan menarik turut diadakan sepanjang program.

Ia termasuklah cabutan bertuah, pertandingan ‘penalty shoot out’, permainan PS5 FC24 dan pertunjukkan Pro Football Freestyler.

“Selain itu, turut dibawakan ialah sesi ‘meet and greet’ bersama legenda bola sepak Negeri Melaka dan kebangsaan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post Semua boleh masuk ‘U’ di UNIMEL
Next post Uptown Pahlawan Walk semakin meriah di lokasi baharu
Ubah saiz-+=