Semua boleh masuk ‘U’ di UNIMEL

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA LINGGI 18 Januari – Kerajaan Negeri mempelawa pelajar- pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negara menyambung pelajaran di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) yang menawarkan yuran pengajian rahmah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, UNIMEL bukan sahaja menyediakan platform pendidikan berkualiti, bahkan turut membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

Menurut beliau, dengan tawaran 58 program pengajian dalam pelbagai peringkat seperti asasi, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah, kadar yuran yang ditetapkan UNIMEL adalah termurah iaitu 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Melaka merupakan negeri pertama yang menawarkan kos pengajian rahmah ini kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian kerana Kerajaan Negeri sentiasa cakna dalam bidang pendidikan untuk memacu pembangunan modal insan.

“Kadar yuran yang ditawarkan adalah adalah sangat berpatutan iaitu serendah RM5,840 untuk tempoh pengajian tiga tahun bagi tiga program pengajian iaitu Diploma Tahfiz Al-Quran Walqiraat, Diploma Usuluddin dan Diploma Syariah, malah pelajar juga boleh membuat pelan pembayaran mudah serendah RM130 sebulan.

“Justeru itu, penawaran kadar yuran kos pengajian yang berpatutan mengikut kadar kemampuan pelajar terutamanya kepada pelajar daripada golongan B40 dan penawaran ini bukan sahaja kepada anak-anak Negeri Melaka bahkan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Photo1690778179
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Rahmad, selain yuran pengajian Rahmah, UNIMEL turut menawarkan penginapan asrama percuma selama setahun, yang membolehkan penuntutnya merasai penjimatan sebanyak RM3,000.

Rahmad memaklumkan, kolej kediaman UNIMEL boleh menampung sehingga 7,000 pelajar yang mana ia dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti kafetaria, dobi layan diri dan pusat pelajar.

“Selain itu, pelbagai bantuan juga disediakan bagi pelajar baharu yang layak menerusi dana tabung kebajikan dan zakat korporat berbentuk kupon makan dan bantuan pendidikan.

“Dengan yuran rahmah, pelajar dapat menikmati kemudahan Wi-Fi, skim perlindungan kesihatan, klinik dalam kampus, panel klinik, kompleks sukan dan pengangkutan secara percuma.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tinggi yang berkualiti dengan harga rahmah,” katanya.

Rahmad berkata, setakat Januari 2024, seramai 864 pelajar telah mendaftar dengan UNIMEL, manakala jumlah enrolmen pula adalah seramai 3,200 orang.

Tambah beliau, antara program baharu yang ditawarkan pada sesi kemasukan Julai 2024 ialah Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Kepujian).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2149
Kongsi :
Previous post Lebih 500 sertai Kejohanan Badminton Remaja di Melaka
Next post JBS Melaka anjur tiga tayangan skrin besar Piala Asia
Ubah saiz-+=