Lebih 500 sertai Kejohanan Badminton Remaja di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Lebih 500 pemain badminton muda tempatan berumur lapan hingga 12 tahun akan bersaing dalam edisi sulung siri kejohanan badminton remaja NCT berlangsung di Bukit Serindit, Melaka bermula esok hingga Ahad ini.

Kejohanan berkenaan dibahagikan kepada 14 kategori lelaki dan perempuan, disertai pemain badminton dari Melaka, Johor dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Purple League Datuk Jack Koh berkata kejohanan remaja NCT dianjurkan sebagai inisiatif pembangunan bakat dari peringkat akar umbi dan menyaksikan keseluruhan lima peringkat yang akan diadakan di Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, selepas penganjuran di Melaka.

Beliau berkata peserta separuh akhir dari lima peringkat itu secara automatik layak bertanding di Grand Prix Akhir di Kuala Lumpur pada Jun depan, dengan enam pemenang terpilih berpeluang menyaksikan pemain terbaik dunia beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai.

“Kali ini kita bermula dari peringkat akar umbi menerusi penganjuran kejohanan remaja di bawah program Road to Nurturing Champion of Tomorrow (NCT) dan diikuti dengan liga universiti sebelum memasuki kejohanan profesional,” katanya.

Jack yang juga merupakan bekas pemain beregu berkata selepas mengikuti perkembangan pemain seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chen Tang Jie dan Man Wei Chong dalam Petaling BC, pihaknya bercadang melakukannya bermula dari peringkat bawah kali ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

900
Kongsi :
Previous post Jumlah mangsa banjir di tiga negeri kekal 289 orang – NADMA
Next post Semua boleh masuk ‘U’ di UNIMEL
Ubah saiz-+=