Kan dah kena…

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 2 Nov. – Akibat sengaja menyebabkan pencemaran udara, sebuah kilang peleburan sekunder aluminium di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai telah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka.

Pengarah JAS Melaka Rosli Osman berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan serbuan ke atas kilang berkenaan selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan telah melanggar pelbagai jenis peraturan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk sekitar.

“Kita dapati banyak perkara tidak dipatuhi kilang terbabit. Salah satunya dari segi alat kawalannya iaitu ‘bag filter’ tidak berfungsi dengan baik hingga mengakibatkan pencemaran udara.

“Selain itu premis berkenaan juga tidak mendapat kelulusan tapak untuk menjalankan kerja-kerja di kawasan tersebut serta gagal mengemukakan pengisytiharan bertulis alat kawalan pencemaran udara dan alat pembakaran bahan api kepada JAS Melaka.

“Jadi, kita telah melakukan sitaan terhadap kilang berkenaan dan mengarahkannya ditutup selama 14 hari,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurutnya, notis arahan telah dikeluarkan kepada kilang terbabit bagi pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Tegasnya, tindakan seperti mengeluarkan notis arahan, kompaun dan tindakan mahkamah akan dikenakan bagi mana-mana premis-premis yang masih gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“JAS Melaka akan sentiasa memantau dan memastikan tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap premis yang melakukan pencemaran alam sekitar dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Kita juga memberi amaran keras kepada semua pengusaha premis agar tidak mengambil mudah amaran yang telah diberikan sebelum ini,” katanya lagi.

Views:

2039
Kongsi :
Previous post Piala Malaysia: Selangor dan UiTM FC guna gelanggang luar
Next post Penggunaan vaksin influenza SKYCellflu Quadrivalent, Vaxigrip Tetra dibenarkan semula
Ubah saiz-+=