Kanak-kanak hidap penyakit kronik perlu ambil vaksin – Dr. Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 3 Feb – Ibu bapa kanak-kanak menghidap penyakit kronik disarankan menghantar anak masing-masing mendapatkan suntikan dos vaksin COVID-19.

EXCO Kesihatan, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, suntikan vaksin tidak wajib untuk kanak-kanak namun disarankan bagi yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti asma teruk dan keradangan paru-paru.

Beliau berharap penerimaan dan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan suntikan vaksin kanak-kanak meningkat bagi mengekang penularan COVID-19 khusus dalam kalangan individu berisiko tinggi.

“Bagi saya perkara ini tidak wajib kerana ia adalah atas kerelaan dan kita tak paksa siapa yang mahu ambil, tapi sebagai langkah berjaga-jaga perlulah kita mengambilnya.

“Lagipun jika melihat suntikan ini dos yang diberikan adalah tidak sama seperti dewasa kerana ia juga melibatkan penyesuaian gerak badan dan faktor fisiologikal kanak-kanak.

“Mengambil contoh di United Kingdom dan Amerika Syarikat telah pun memberikan suntikan ini kepada kanak-kanak. Dapatan kajian menyeluruh telah dilakukan menyatakan kebaikannya lebih daripada keburukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu beliau berharap, pemberian vaksin kanak-kanak di negeri ini diperluaskan seperti vaksin dewasa.

“Melaka antara negeri terbaik di mana rakyatnya telah menerima vaksin lengkap jadi kita harapkan penerimaannya juga sama dengan vaksin kanak-kanak nanti.

“Bagi Melaka kita belum lagi membuka pusat vaksin untuk kanak-kanak dan dijangka pada awal atau pertengahan Februari ini ia akan dimulakan di negeri ini.

“Sebenarnya apa yang penting adalah penerimaan masyarakat terhadap vaksin, kita harap ini jalan ikhtiar kita untuk ke arah taraf kesihatan yang lebih baik,” ujarnya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer COVID-19 setakat 1 Feb.

Menurutnya, angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

650
Kongsi :
Previous post Tiga lelaki dipercayai terlibat samun maut dalam nahas – Polis
Next post Terima kasih YB belanja ikan jenahak
Ubah saiz-+=