Karnival himpun barang vintaj, ‘rare’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDAR MELAKA 28 Ogos – Karnival Sneakers Day Vol. 2 yang diadakan bermula semalam hingga Ahad di Perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka menghimpunkan pelbagai barangan vintaj dan unik kepada pengunjung.

Penganjuran kali kedua yang diadakan bersempena ulang tahun ke-10 UTC Melaka itu menampilkan sebanyak 100 gerai yang menjual pelbagai barangan seperti kasut dan koleksi pakaian vintaj daripada peniaga seluruh negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari berkata, karnival itu bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan berkonsepkan ‘bundle’, bahkan ia juga berupaya menarik pelancong datang ke Melaka.

Pada masa sama, katanya, karnival itu juga dilihat berjaya menarik minat golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Daripada segi perniagaan, saya melihat ia satu perkembangan yang baik dan potensi perniagaan ‘bundle’ ini dalam merancakkan lagi ekonomi di Melaka, selain menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

“Ketika mengadakan lawatan, saya juga melihat ramai anak muda telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan ini satu petanda baik untuk menarik lebih ramai anak muda berniaga di negeri ini,” katanya.

IMG_20220827_230252
ZAIDI menyantuni peniaga Karnival Sneakers Day Vol. 2 di Perkarangan UTC Melaka.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Karnival Sneakers Day Vol. 2 di Perkarangan UTC Melaka, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Pengurus UTC Melaka Arif Faiz Zainudin dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Zaidi turut memuji inisiatif UTC Melaka yang menganjurkan Vintage Night Market di lokasi sama pada setiap Jumaat hingga Ahad.

Katanya, inisiatif itu merupakan satu kaedah terbaik untuk menarik orang ramai datang ke UTC, selain mengetahui perkhidmatan yang disediakan kerajaan di situ.

“Di samping berurusan di kaunter kerajaan di UTC, pengunjung juga pada masa sama boleh berkunjung ke Vintage Night Market untuk memberi sokongan kepada peniaga di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1818
Kongsi :
Previous post Kabinet setuju pinda dua akta komunikasi
Next post Fiesta serlah elemen rakyat Melaka
Ubah saiz-+=