Karnival Kerjaya Melaka: 6,050 sudah dapat kerja setakat Nov

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BEMBAN 23 Dis – Mini Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka wajar diteruskan pada tahun akan datang bagi merealisasikan hasrat menurunkan kadar pengangguran di negeri ini.

Pengurus Besar Institut Tun Perak (ITP), Hazzlan Sama berkata, pihaknya komited bersama-sama agensi kerajaan negeri bagi menjayakan program yang telah banyak menawarkan pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, menerusi pelbagai program termasuk dua penganjuran program berkenaan sebelum ini sebanyak 6,050 pekerjaan telah diisi menerusi MyFuturejob di Melaka setakat Nov lalu.

“Kita komited untuk membantu kerajaan negeri bersama pihak PERKESO dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk membantu memulihkan sektor kerjaya di Melaka

“Bagi sambutan kali ini alhamdulillah kita dapat menerima pra pendaftaran seramai 500 orang dari Melaka khasnya di Jasin untuk datang menjalani temu duga secara terus bersama majikan.

“Pihak ITP bersedia bersama-sama sekali lagi jika diberi ruang untuk melaksanakan karnival kerjaya bersama PERKESO dan UPEN pada tahun hadapan.

“Saya percaya program seperti ini sedikit sebanyak membantu rakyat melaka untuk mencari kerja terutama golongan anak muda dan individu yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

PENGURUS Besar Institut Tun Perak, Hazzlan Sama. Foto: MR. Azli

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Mini Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka diadakan di Mydin Jasin, di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Maslina Baki berkata, penganjuran program seperti itu seiring bagi mencapai hasrat kerajaan negeri dalam misi mengurangkan pengangguran dalam tempoh 100 hari.

Beliau berkata, program karnival kerjaya yang diadakan itu merupakan lanjutan kepada dasar kerajaan negeri bagi mengenal pasti peluang pekerjaan buat rakyat Melaka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kita melihat karnival ini sudah dimulakan sejak tahun lepas lagi sehinggalah tahun ini dan berpandangan dari sudut UPEN dan Majlis Tindakan Ekonomi Mengeri (MTEN) bahawa perkara ini boleh kita laksanakan.

“Kalau boleh kita nak minimakan kadar pengangguran itu dengan kita laksanakan pelbagai program seperti ini untuk memberi peluang kepada rakyat melaka supaya dapatkan pekerjaan.

“Dalam program seperti ini kita ‘matchingkan’ antara majikan dan pekerja yang memang boleh bekerja di sektor-sektor terlibat.

“Inilah medium untuk menemukan majikan dengan pencari kerja yang benar layak, di sinilah dipanggil sebagai ‘mix-match’ itu berlaku, kita padankan antara majikan dan pekerja menerusi ‘demand’ dan ‘supply’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post Graduan jangan pilih kerja, kejar pengalaman
Next post UiTM Melaka bantu mangsa banjir Lubok China
Ubah saiz-+=