Sorting by

×

KASA sasar tanam sejuta barang pokok bakau

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

NIBONG TEBAL, 4 Jun – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan untuk menanam sejuta batang pokok bakau di seluruh negara menjelang 2030, dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau serta alam sekitar.

Timbalan Menterinya Datuk Mansor Othman berkata usaha penanaman pokok bakau itu telah dijalankan sejak tahun lepas dan setakat ini kira-kira 300,000 batang pokok tersebut atau 30 peratus daripada sasaran, telah berjaya ditanam di seluruh negara.

“KASA sedang mempergiatkan penanaman pokok bakau di pesisiran pantai seluruh negara, terutama yang terdedah dengan hakisan dan ombak, kerana ia (pokok bakau) mempunyai peranan yang penting untuk keseimbangan ekosistem pesisiran pantai.

“Sebenarnya penanaman pokok bakau bukan sahaja boleh mencegah hakisan pantai, malah dapat memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang dan ketam dapat membiak, ini meningkatkan stok sumber perikanan setempat serta ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pelaksanaan Inisiatif Belia Prihatin Alam Sekitar: Penanaman 500 Pokok Bakau Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, anjuran Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) dan Kelab Belia Prihatin Malaysia di Pusat Pendidikan Hutan Paya Laut Sungai Acheh, di sini.

Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata program penanaman pokok bakau dan spesies yang sesuai, akan diteruskan di pesisiran pantai negara meliputi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau serta peningkatan kesedaran masyarakat dalam menjaga alam sekitar.

Katanya ia selaras dengan aspirasi dan usaha KASA memperkasakan kesedaran dalam melestarikan alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda dan belia kerana mereka adalah golongan pelapis yang akan terus menjaga alam sekitar pada masa hadapan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tinggi, kepada Kelab Belia Prihatin dan para belia daripada seluruh negara, yang hadir untuk menjayakan program kita pada pagi ini. Kira-kira 100 belia terlibat dalam penanaman pokok bakau.

“Inisiatif murni seperti ini adalah selaras dengan aspirasi KASA, saya menyeru agar golongan belia terus memainkan peranan penting untuk memastikan kemapanan dan kelestarian alam terjaga untuk masa depan generasi seterusnya,” katanya.

Menurutnya ketika ini terdapat sebanyak 180,000 batang pokok bakau ditanam di kawasan Pusat Pendidikan Hutan Paya Laut Sungai Acheh itu dan usaha tersebut dijalankan oleh pelbagai pihak bersama komuniti nelayan di situ sejak 20 tahun lepas.

“Saya kagum dengan kesungguhan dan usaha pelbagai pihak terlibat dengan aktiviti penanaman bakau bersama komuniti nelayan di sini sejak 20 tahun lalu dan kini sudah mencecah lebih 180,000 batang pokok ditanam. Ini pastinya satu kembara yang panjang dan yang paling penting ianya bermula hanya dengan batang pokok yang pertama,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1388
Kongsi :
Previous post MAFI akan pastikan sumber bekalan makanan import, keluaran negara seimbang
Next post Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan
Ubah saiz-+=