Kastam rampas rokok putih bernilai lebih RM1.9 juta

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 24 Nov. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih bernilai RM1.944 juta membabitkan 2.6 juta batang rokok di Kota Rembau, Negeri Sembilan.

Pengarah JKDM Melaka, Siti Zaleha Mohd Said berkata, dalam operasi Jumaat minggu lalu itu, cubaan penyeludupan berjaya dipatahkan selepas pihaknya menahan sebuah lori ‘bonded’ tiga tan.

“Lori ini menggunakan nombor pendaftaran tempatan yang mengandungi rokok putih disyaki barang larangan.

“Pasukan cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM bersama cawangan Penguatkuasaan JKDM Melaka berjaya menahan pemandu lori seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 37 tahun untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi membawa barang larangan iaitu rokok tak berkastam menggunakan lori ‘bonded’ dengan menggunakan laluan pedalaman yang sunyi dan kurang kenderaan pada waktu awal pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Kastam Melaka menumpaskan penyeludupan rokok di Wisma Kastam, hari ini.

Jelasnya, kes terbabit disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 dibawah kesalahan cubaan meyeludup apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Di Melaka setakat ini terdapat 92 kes seludup rokok putih dan kretek membabitkan sebanyak 14.9 juta batang rokok dengan nilai rampasan RM1.5 juta dan cukai RM9.8 juta,” katanya.

Views:

1257
Kongsi :
Previous post Projek baik pulik Jambatan Bemban dilaksana Januari 2021
Next post Tiga Geng Ayip Gagap dihadapkan ke mahkamah
Ubah saiz-+=