KBS tingkat keselamatan atlet, mohon hentikan spekulasi

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 9 Mei – Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden malang yang menimpa pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim yang disimbah asid baru-baru ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan melayan sebarang spekulasi yang ditimbulkan mana-mana pihak di media sosial.

Katanya, perkara itu hanya mengeruhkan keadaan dan berharap pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab sebaiknya.

“Saya harap perkara ini kita serahkan pada pihak berkuasa dan biar pihak berkuasa dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Kita tidak akan layan sebarang spekulasi liar mengaitkan kejadian yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan kerana fokus kita sekarang ialah mempertingkatkan aspek keselamatan (atlet) dalam acara-acara sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Adam berkata KBS memandang serius kejadian jenayah yang berlaku membabitkan landskap sukan negara dan berharap semua pihak dapat mengambil iktibar kejadian terbabit.

Media sebelum ini melaporkan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun individu tidak dikenali diikuti seorang lagi pemain, Faisal Halim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Petaling Jaya.

Kelmarin, bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim pula menjadi mangsa jenayah selepas cermin belakang keretanya diketuk tukul besi sehingga pecah di Johor Bahru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

34
Kongsi :
Previous post 30,000 belia bakal ‘berkampung’ di Melaka, 24 – 26 Mei ini
Next post Penuntut IPTA didakwa cederakan rakan baik guna asid
Ubah saiz-+=