30,000 belia bakal ‘berkampung’ di Melaka, 24 – 26 Mei ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 9 Mei – Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Mei ini di Dataran Pahlawan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, kemuncak HBN akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei ini.

Katanya, HBN pada tahun ini mengangkat tema ‘Yakin Boleh’ dengan objektif memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang turut memainkan peranan secara signifikan dalam arus perdana pembangunan negara.

“Pada sambutan HBN 2024 ini kita sasarkan lebih 30,000 golongan belia dari seluruh negara yang akan berhimpun selama tiga hari di Pavilion Dataran Pahlawan.

“Pada malam kemuncak itu juga, Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan.

“Lebih 70 program telah diatur sebagai pengisian sepanjang tiga hari sambutan HBN itu dan dijangka penganjuran HBN ini dapat memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara seterusnya memperluaskan akses belia sesuai dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran HBN Peringkat Kebangsaan di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, program tiga hari di Dataran Pahlawan memfokuskan kepada 10 Gaya Hidup Rakan Muda dan 70 pengisian antaranya Malam Solidariti Palestin, Larian Yakin Boleh Belia Malaysia 2024 dan Himpunan Komuniti Belia.

“Turut diadakan Perkhemahan Belia, Pavilion Seni Budaya Negeri-Negeri; Karnival Kerjaya, jualan dan pameran membabitkan agensi-agensi kerajaan, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post 12 jabatan, agensi jayakan Rumah Terbuka Aidilfitri MAIM
Next post KBS tingkat keselamatan atlet, mohon hentikan spekulasi
Ubah saiz-+=