Kebergantungan Melaka terhadap pekerja asing adalah rendah – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 12 September – Kebergantungan Melaka terhadap tenaga kerja asing dalam sektor perindustrian adalah rendah, kata Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, ia berikutan peratusan pekerja tempatan dalam sektor itu adalah tinggi iaitu menjangkau 15 peratus daripada populasi di negeri ini.

“Saya lihat peratusan rakyat Melaka yang mendapat peluang pekerjaan dalam sektor industri mencapai sehingga 15 peratus iaitu 150,000 orang daripada hampir satu juta rakyat Melaka.

“Ini menunjukkan kebergantungan kita (kerajaan negeri) kepada pekerja asing amat rendah memandangkan kita mempunyai satu sistem perindustrian yang mana rakyat boleh bekerja berdekatan dengan kawasan perumahan mereka sendiri.

“Jadi keperluan pihak industri di Melaka, mereka melihat tiada keperluan untuk kita mencari orang luar datang bekerja di negeri ini kerana sektor industri dipenuhi dengan penduduk Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosioekonomi 2021 Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Hotel Ames di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh.

photo1662959069
AB Rauf pada sidang media selepas Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosioekonomi 2021 Negeri Melaka di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Ujarnya, biarpun pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020, namun sektor industri tidak terjejas kerana ia merupakan sektor yang penting bagi syarikat pengeluar semikonduktor.

“Rakyat melaka yang bekerja dalam sektor industri ini tidak terjejas terutamanya dalam sektor-sektor yang penting bagi pengeluar semikonduktor.

“Syarikat mesti berjalan terus kerana ia akan melemahkan pengeluaran semikonduktor seluruh dunia jika dihentikan, di Melaka kita diberikan kelonggaran untuk menjalankan operasi tersebut semasa pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2290
Kongsi :
Previous post Polis sahkan suspek mati mengejut dalam tahanan
Next post LTAM sibuk semula selepas tiga tahun
Ubah saiz-+=