Kecanggihan teknologi tarik keyakinan pelabur ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 27 April – Melaka mengambil langkah lebih proaktif bagi memastikan kecanggihan teknologi di negeri ini mampu berkembang pesat dengan kemudahan terkini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejajar dengan itu Kerajaan Negeri kini giat menawarkan pelbagai program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mampu memenuhi kebolehpasaran graduan sekali gus menarik keyakinan pelabur.

Beliau berkata, sebagai negeri yang menerapkan amalan mesra pelabur, bidang teknologi mampu menjadi nilai tambah kepada Melaka dalam menarik lebih banyak pelaburan baharu ke negeri ini.

“Usaha ini bagi menggalakkan para pelabur membangunkan kilang dan perniagaan di Melaka menerusi penerapan amalan mesra pelabur.

“Selain itu program TVET di negeri ini juga sedang giat dijalankan untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan berkemahiran tinggi menerusi penubuhan Melaka Centre of Excellence,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian 77th Technological Assocation Malaysia (TAM) National Annual Genereal Meeting, Conference and Annual Dinner di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Presiden Persatuan Teknologi Malaysia (TAM), Ts. Tung Chee Kuan dan Pengerusi TAM Cawangan Melaka, Ir. Ng Hsin Loon.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik di atas usaha TAM yang mahu bekerjasama bagi mempromosikan dua bidang berkenaan di negeri ini.

Menurut Ab Rauf, Melaka menyambut baik usaha persatuan itu menerusi penganjuran program pemantapan kesedaran teknologi menerusi bengkel, seminar, perbincangan, lawatan tapak, penerbitan jurnal dan lain-lain berkaitan aspek teknologi.

“Melaka merupakan negeri penuh bersejarah di mana proses perkembangan teknologinya yang berkembang pesat. Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa cakna dengan mengambil langkah proaktif demi memastikan kemajuan teknologi di negeri ini sentiasa ‘up to date’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post 4 tip elak jadi mangsa ‘scammer’
Next post Rumah Terbuka Aidilfitri Mualaf Melaka meriah!
Ubah saiz-+=