4 tip elak jadi mangsa ‘scammer’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 27 April – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menyenaraikan antara empat tip kepada masyarakat untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scammer).

Timbalan Ketua JSJK IPK Melaka Deputi Superintendan Azmi Aziz berkata, tip pertama untuk mengelak daripada menjadi mangsa ialah memilih transaksi pembelian secara kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD).

Katanya, kaedah berkenaan amat membantu dalam urusan pembelian barangan secara dalam talian memandangkan sebelum ini ramai yang pernah menjadi mangsa.

“Kaedah COD amat membantu kerana kita berpeluang melihat dahulu barangan yang tiba sebelum membuat pembayaran, sekali gus mengurangkan risiko daripada ditipu.

“Malah, jika membeli barangan di platform e-dagang, orang ramai dinasihatkan untuk membaca dahulu ‘review’ daripada pembeli lain sebelum membuat pembayaran,” katanya ketika menjadi tetamu Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di studio Melaka TV (MTV), di sini, hari ini.

Jelas beliau, ‘petua’ kedua yang boleh dipraktikkan ialah dengan tidak menekan apa jua pautan (link) yang diterima daripada aplikasi telefon pintar, termasuklah Whatsapp, Telegram atau platform media sosial.

Ini kerana, menurut beliau, dengan menekan pautan tersebut, ia membolehkan virus masuk ke dalam telefon pintar milik individu hingga membolehkan penjenayah mempunyai akses untuk mengambil alih aplikasi perbankan dan sebagainya.

Selain itu, Azmi turut meminta orang ramai untuk segera menyekat panggilan yang mendakwa mereka merupakan pegawai polis atau pegawai kerajaan yang didapati mencurigakan seperti meminta butiran peribadi mereka.

“Cara paling mudah ialah memuat turun aplikasi ‘True Caller’ yang mana apabila ia berfungsi dengan baik untuk mengesan panggilan ‘scammer’,” ujarnya.

Menurut beliau, tip paling penting ialah segera menelefon talian 997 iaitu ‘hotline’ Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebaik menyedari mereka menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian.

Jelasnya, dengan panggilan tersebut, ia dapat membantu untuk menyekat akaun milik individu dengan lebih pantas, seterusnya membantu dalam mengurangkan risiko mangsa mengalami kerugian lebih besar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post Zamani Slam meriahkan raya di Taboh Naning
Next post Kecanggihan teknologi tarik keyakinan pelabur ke Melaka
Ubah saiz-+=