Kedai dobi layan diri di kawasan PKP boleh beroperasi

Masa Membaca:54 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Jan. – Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan kedai dobi layan diri dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pengusaha premis dobi layan diri perlu memastikan pelanggan mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan COVID-19.

“Kedai dobi layan diri dibenarkan beroperasi dengan syarat terdapat seorang pekerja yang memantau dan menjaga SOP.

“Antaranya melakukan saringan suhu badan kepada pelanggan sebelum masuk, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, memastikan penjarakan fizikal dan tidak bersesak,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Kementerian Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau pematuhan SOP oleh kedai dobi layan diri tersebut.

Kerajaan sebelum ini mengeluarkan SOP membenarkan kedai dobi untuk beroperasi di kawasan PKP kecuali dobi layan diri kerana tiada pengawasan di premis berkenaan.

PKP dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Jan ini. BERNAMA

Views:

2749
Kongsi :
Previous post COVID-19: Enggan rawat pesakit, hospital swasta kini boleh dipenjara, denda RM5 juta
Next post Semoga Tun Salleh Abas sembuh daripada COVID-19
Ubah saiz-+=